SUKAN SEA ke-29 Kuala Lumpur 2017 bakal melakar satu lagi sejarah tersendiri dengan liputan siaran langsung terbesar dan paling komprehensif dalam sejarah penganjuran temasya sukan terbesar serantau itu.
Sebanyak 24 acara sukan disiarkan secara langsung yang merupakan liputan terbesar dalam sejarah penyiaran dan siaran langsung Sukan SEA.
Astro Arena, sebagai penyiar rasmi, menjanjikan liputan terbaik mulai 14 Ogos ini di lapan saluran – 4 siaran berdefinisi tinggi dan 4 berdefinisi standard. Bagi menjadikan liputan yang komprehensif dengan capaian tontonan paling meluas, Astro juga bakal menyiarkan liputan menerusi empat platform digitalnya di Astro Go dan NJOI TV.
Melancarkan Liputan Sukan SEA oleh Astro Arena di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Selasa (18 Julai 2017), Menteri Belia dan Sukan YB Brig Jen Khairy Jamaluddin berkata, aspek penyiaran bagi Sukan SEA KL 2017 agak unik kerana membabitkan konsortium tiga gergasi penyiaran negara – Astro Arena, Media Prima dan RTM.
Sebanyak 22 hingga 24 jenis sukan akan disiarkan secra langsung — olahraga, akuatik, bolasepak (lelaki), berbasikal (trek), tenpin bowling, billiard dan snuker, ragbi 7 sebelah, angkat berat, ping pong, gimnastik, luncur ais, tinju, muay, karate, taekwondo, pencak silat, wushu, bola keranjang, badminton, bola jaring, sepak takraw, skuasy, memanah dan hoki.
“Kerja kerja produksi siaran langsung agak unik kerana membabitkan gabungan tiga badan penyiar tempatan utama iaitu Astro Arena, Radio Televisyen Malaysia (RTM), dan rangkaian televisyen Media Prima,” kata YB Brig Jen Khairy.
Jawatankuasa Pengelola Malaysia (MASOC) KL 2017 menjangkakan jumlah tontonan dan capaian lebih besar berbanding Singapura 2015 kerana ia membabitkan pasukan produksi siaran dari Singapura, Thailand, Indonesia dan Filipina. Sehubungan itu, nilai media televisyen bagi Sukan SEA 2017 dijangka meingkat berbanding Singapura 2015 yang mengumpul jumlah nilai RM328 juta dengan jumlah masa siaran selama 2,084 jam dan melibatkan 398 juta penonton.
“Walaupun MASOC telah mengambil pelbagai langkah meluaskan capaian menerusi pelbagai asset digitalnya, saya percaya ramai yang masih mahu menonton siaran langsung bedefinisi tinggi di skrin besar televisyen,” kata YB Brig Jen Khairy, yang nyata teruja dengan perancangan siaran liputan KL 2017.
“Dalam masa beberapa minggu lagi, temasya akan bermula, ayuh kita bangkit bersama jadikan Sukan SEA KL 2017 yang terbaik,” kata beliau.
Dalam pada itu, Naib Presiden Perniagaan Sukan Astro, Lee Choong Kay berkata, Astro komited memberikan pengalaman tontonan terbaik kepada orang ramai selepas kejayaan liputan Sukan Olimpik 2016 di Rio.
“Selepas liputan Olimpik Rio 2016 dengan rekod tertinggi tontonan 11.1 juta penonton di Astro Arena, Astro terus komited untuk memberikan siaran terbaik menerusi visual berkualiti tinggi pada Sukan SEA nanti,” kata beliau.
Turut hadir pada majlis pelancaran termasuk Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Tunku Imran Tuanku Jaafar, Timbalan Presiden MOM, Datuk Seri Norza Zakaria, Setiausaha Agung MOM, Datuk Low Beng Choo, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Ahmad Shapawi Ismail dan presiden dan pegawai persatuan sukan kebangsaan.
FAKTA SIARAN LANGSUNG/LIPUTAN PENYIARAN SUKAN SEA KE-29 KL 2017 ASTRO
- ASTRO ARENA (4 Saluran HD dan 4 Saluran SD)
- Platform Digital – 4 Saluran di Astro Go & NJOI NOW
- Portal Astro – Stadium Astro, Astro Gempak, Rojak Daily, Astro Ulagam (Tamil), Xuan (Cina)