Sidang Kemuncak Sukan Antarabangsa Selangor 2019 bakal menghimpunkan pakar pakar bidang sukan dari Asia akan dirasmikan Menteri Besar Selangor, Y.A.B Tuan Amirudin Shari pada 27 Ogos depan.

Acara ini diilhamkan Kesatuan Wartawan Sukan Asia (AIPS Asia) dengan kerjasama kerajaan Negeri Selangor, dimana acara ini akan turut dihadiri wakil jemputan dari Qatar, Korea Selatan dan beberapa pegawai sukan Malaysia.

Ahli Jawatankuasa Tertinggi Piala Dunia 2022 Qatar, Khalid Al-Naama yang juga Ketua Media Negara Arab dan Presiden Diplomasi Sukan Antarabangsa Korea, Prof. Rocky Kang-Ro Yoon antara individu yang mengesahkan kehadiran sebagai penceramah di acara ini.

Kedua dua panel akan membincangkan kepentingan dan manfaat sukan sukan utama terhadap negara terutama bandar bandar tertentu yang menjadi tuan rumah bagi sesebuah kejohanan.

Mereka akan berkongsi ilmu dan pengalaman melibatkan beberapa acara yang telah dijalankan dan akan dilakukan di masa akan datang. Prof Rocky pula akan membincangkan bagaimana Sukan Olimpik Musim Panas dan Musim Sejuk memberi impak terhadap negara penganjur sementara Khalid akan bercakap berkenaan cabaran dalam menjadi penganjur Piala Dunia.

 

 

Ucaptama akan disampaikan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Datuk Seri Mohamed Norza Zakaria. Sidang Kemuncak Sukan Antarabangsa Selangor 2019 akan melibatkan kira kira 300 peserta yang terdiri daripada pemegang taruh agensi dan persatuan sukan dari Selangor, wakil wakil AIPS Asia dari 30 buah negara, ketua ketua media sukan dari Malaysia dan Asia serta pegawai pegawai persatuan sukan kebangsaan.

“Tuan Amirudin telah memainkan peranan untuk memastikan acara ini berjalan dengan jaya. Ketika kami mengutarakan idea ini, beliau dapat melihat kepentingan dan nilai yang bakal diperolehi oleh negeri Selangor menerusi penganjuran acara ini,”kata Naib Presiden dan Timbalan Pengerusi Sidang Kemuncak Sukan Antarabangsa Selangor, Ahmad Khawari Isa di sidang media pelancaran hari ini.

Majlis perasmian disempurnakan Exco Pembangunan Generasi Muda dan Sukan dan Modal Insan, Selangor yang juga Pengerusi Penganjur Sidang Kemuncak Sukan Antarabangsa Selangor 2019, YB Mohd Khairudin Othman.

“Peserta akan mengetahui secara langsung apa yang diperlukan untuk menganjurkan acara-acara utama dan bagaimana ia akan memberi manfaat kepada negara, negeri atau bandar mereka samada jangka pendek atau jangka panjang. Manfaatnya amat besar, termasuk infrastruktur dan pulangan ekonomi yang besar,”

Khawari berkata beliau berharap sebaik melangkah keluar daripada sidang kemuncak ini akan mendapat pandangan dan idea yang lebih jauh bagaimana untuk menjadi penganjur kejohanan besar satu hari nanti.

Setiausaha Jawatankuasa Penganjur, Venu Ramadass kemudiannya menambah cara ini sudah berada di dalam perancangan pihaknya.

“Kami telah mengadakan beberapa perbincangan dengan YB Khairuddin dan pegawainya berhubung perkara ini. Dengan bantuan dan panduan yang diberi, kami berjaya menyusunatur program dan intipatinya. Sidang kemuncak ini amat berguna kepada Selangor kerana ia secara tidak langsung membuka ruang dan peluang kepada negeri ini untuk menganjurkan lebih banyak acara sukan. ”

Disamping itu, AIPS Asia akan mengumumkan atlet terbaik Asia bagi tahun 2018. Empat anugerah disediakan; Atlet Lelaki dan Perempuan Terbaik, serta Pasukan Lelaki dan Perempuan Terbaik. Bersempena dengan sidang kemuncak itu juga, AIPS Asia akan mengadakan Kongres tahunannya yang akan dihadiri oleh perwakilan dari 30 buah negara.

- Advertisement -