Impian Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman untuk kembali berbakti dengan pasukan negeri kelahiran akhirnya tercapai apabila penjaga gol skuad kebangsaan itu dipinjamkan ke Penang FC bagi musim baharu yang akan bermula pada Mei ini.
Penang FC yang sebelum ini telah berjaya mengikat Muhammad Khairu Azrin Khazali dan Muhammad Nabil Ahmad Latpi terus menguatkan pasukan dengan membawa masuk penjaga gol muda yang berasal dari Seberang Jaya, Perai untuk membantu skuad kendalian Akmal Rizal Ahmad Rakhli.
Sikh Izhan yang sebelum ini dipinjamkan kepada pasukan Negeri Sembilan FC pada musim lalu, sekali lagi dieksport keluar secara pinjaman oleh Selangor FC pada musim 2024-2025.
Walaupun hanya berstatus sebagai pemain pinjaman, Sikh Izhan ternyata sangat bermotivasi dan optimis untuk memulakan musim baharu bersama Penang FC.
“Sudah semestinya saya akan memberikan yang terbaik memandangkan impian saya untuk beraksi dengan kelab yang saya sudah lama impikan untuk beraksi.
“Ibarat pulang ke kampung, saya pasti akan memberikan yang terbaik kepada pasukan untuk membanggakan penyokong Penang FC,” katanya.
Dalam pada itu, penjaga gol berusia 21 tahun ini sekali lagi mendapat kepercayaan jurulatih Kim Pan Gon untuk menyertai kem latihan pusat Harimau Malaya yang akan bermula 8 Mac ini.
“Saya optimis dengan peluang yang diberikan jurulatih kebangsaan, dan bersama-sama Ahmad Syihan Hazmi dan Muhammad Azri Ab Ghani adalah satu peluang untuk saya sentiasa belajar bersama-sama dengan mereka.”
Skuad Harimau Malaya akan mengharungi perlawanan ketiga dan keempat kumpulan D pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Oman di Muscat pada 21 Mac dan di Bukit Jalil pada 26 Mac.