Perlawanan seterusnya buat Singapura adalah menentang Brunei pada 23 Ogos manakala Laos juga akan menentang Brunei dua hari sebelum itu pada 21 Ogos.

Singapura kembali menghidupkan peluang merebut tempat ke separuh akhir bolasepak lelaki Sukan Sea Kuala Lumpur setelah menundukkan Laos 2-0 dalam aksi Kumpulan A di Stadium Selayang pada Jumaat (18 Ogos). Setelah tewas dua perlawanan pertama kepada Myanmar dan Malaysia, Singapura bimbingan Richard Tardy sedar hanya kemenangan akan memastikan mereka terus kekal dalam persaingan ke kelompok empat terakhir.

Hanya dua minit masa diambil untuk mereka berada di depan 1-0 apabila percubaan Mohamad Hanafi Mohd Akbar dari dalam kotak penalti gagal diselamatkan penjaga gol Laos Paseuth Saymanolinh. Lapan minit kemudian, pengadil Al Yaqoubi Omar Mubarak Mazarouai menghadiahkan sepakan penalti kepada Singapura setelah Ikhsan Fandi Ahmad dijatuhkan pemain gantian, Lounlasy Lathasay.

Anak kepada legenda bolasepak Singapura itu tenang menyempurnakan sepakan ke arah kiri Paseuth sekaligus memberikan pasukannya kelebihan dua gol. Laos kemudiannya bangkit memperkemas permainan namun skuad bimbingan Monheng Mikewong itu mendapati ianya terlalu sukar untuk menembusi kekebalan pertahanan Singapura dikemudi Irfan Fandi Ahmad dan Amirul Adli Azmi.

Aksi antara kedua-dua pasukan tampak lebih seimbang di separuh masa kedua namun ianya Singapura yang mempunyai tiga peluang menambah jaringan yang gagal disudahkan barisan serangan mereka. Kedudukan kekal 2-0 sehingga tamat perlawanan menyaksikan Singapura ketika ini mengumpul tiga mata dari tiga perlawanan, ketinggalan tiga mata di belakang Malaysia yang beraksi kurang satu perlawanan.

Singapura bagaimanapun akan ditunjukkan jalan keluar andainya Malaysia meraih sekurang-kurangnya satu mata dari dua perlawanan yang berbaki menentang Myanmar dan Laos.

Perlawanan seterusnya buat Singapura adalah menentang Brunei pada 23 Ogos manakala Laos juga akan menentang Brunei dua hari sebelum itu pada 21 Ogos.

 

MONHENG MIKEWONG :
Kami tidak bermula dengan baik, Singapura menekan kami dalam tempoh 15 minit pertama. Secara peribadi ini bukan keputusan saya harapkan. Kami sepatutnya boleh bermain dengan lebih baik kerana kami datang ke sini untuk memberi saingan, bukan untuk tujuan pendedahan. Kami cuba untuk tampil kompetitif dalam setiap perlawanan tetapi setelah melepaskan dua gol awal pemain hilang keyakinan dan motivasi.

RICHARD TARDY :
Kami sasarkan dua kemenangan di Sukan Sea ini iaitu ke atas Laos dan Brunei, jadi separuh daripada tugasan itu sudah dilaksanakan pemain. Tetapi secara peribadi, saya tidak begitu berpuas hati dengan prestasi pemain saya hari ini walaupun menang, kerana hakikatnya mereka bermain dengan lebih baik ketika tewas kepada Myanmar dan Malaysia. Hari ini, bermain tidak begitu baik tetapi kami menang. Kami adalah sebuah pasukan muda yang datang ke sini untuk tujuan pendedahan, jadi layak atau tidak ke separuh akhir tidak berada dalam pemikiran saya, yang penting adalah mereka belajar dan sentiasa meningkat.

– OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -