Kontinjen Singapura mendapat suntikan semangat menjelang temasya Sukan SEA ke 29 Ogos depan apabila melantik dua bekas atlet kebangsaan, Lee Wung Yew dan Mark Chay.
Lee Wung Yew merupakan bekas atlet yang beraksi dalam acara menembak menakala Mark Chay merupakan perenang bagi negara itu.
Kedua duanya dilantik sebagai Timbalan Chef de Mission Singapura ke Sukan SEA sekaligus bakal bergandingan dengan Milan Kwee yang mengambil peranan sebagai Chief de Mission kontinjen Singapura.
Majlis Olimpik Singapura (SNOC) mengumumkan perlantikan Wung Yew dan Mark baru baru ini dalam merealisasikan misi memburu pingat emas dalam 34 sukan yang akan disertai sepanjang Sukan SEA ke 29 kelak.
“Gandingan Wong Yew dan Mark yang berpengalaman luas sebagai atlet dan kejurulatihan pastinya memberi nilai yang positif untuk kontinjen Singapura.
“Kedua duanya menjadi contoh yang terbaik, malah mempunyai personaliti yang baik dan peramah. Pengalaman mereka ketika menyertai kejohanan kejohanan besar pastinya akan membantu dan memberikan panduan kepada atlet khususnya yang pertama kali menyertai temasya besar,”kata Milan Kwee.
Lee Wung Yew merupakan pemenang Anugerah Atlet Terbaik Tahunan (Sportsman of the year) sebanyak dua kali telah mengumpul 16 pingat emas sepanjang penglibatannya di 12 temasya Sukan SEA .
Selain enam penampilan di Sukan Asia termasuk meraih gangsa pada 1988 di Bangkok, beliau juga turut membuat penampilan di Sukan Komanwel sebanyak lima kali dan tiga kali di pentas Olimpik.
Bekas atlet berusia 51 tahun ini turut dilantik sebagai CDM ketika Singapura menjadi tuan rumah di Sukan Remaja Asia pada 2009.
“Ini merupakan peluang untuk berkongsi pengalaman yang saya perolehi ketika beraksi di kejohanan besar dan menyumbang dalam pelbagai cara.
“Saya seronok ketika menjadi Chef de Mission kontinjen Singapura pada 2009 dan kali ini saya diberi peranan yang hampir sama dan berharap atlet kami sedar akan potensi mereka di Sukan SEA nanti,”kata Lee.
Manakala Mark Chay, penglibatannya di pentas Olimpik selain meraih pingat dalam lima penampilan di Sukan SEA serta temasya lain seperti Sukan Asia (dua penampilan) dan Sukan Komanwel (dua penampilan).
2014, beliau dilantik sebagai CDM ke Sukan Olimpik Remaja yang menyaksikan dua atlet daripada sukan pelayaran meraih dua pingat emas.
“Kami akan bekerjasama dalam satu kumpulanbesar di Sukan SEA dan saya berharap dapat memberikan bantuan ketika atlet memerlukannya,”kata Mark Chay.
Kontinjen Singapura akan menghantar seramai 840 atlet untuk mengambil bahagian dalam 34 daripada 38 acara yang dipertandingkan sepanjang Sukan SEA ke 29 nanti.
Jumlah ini masih belum muktamad kerana atlet kebangsaan masih memounyai peluang untuk disenaraikan jika Berjaya menepati syarat kelayakan yang ditetapkan sehingga pertengahan Jun ini.
Manakala proses rayuan akan dipertimbangkan oleh SNOC pada 27 Jun sebelum senarai akhir jumlah atlet dan pegawai yang terlibat dimuktamadkan selepas itu. – OLEH KU MOHD LUFTI