Perlawanan terakhir Siri Perlawanan Ujian Antarabangsa 2022 antara Malaysia dan Australia berlangsung hari ini di Stadium Hoki Perth dan Skuad Senior Lelaki Kebangsaan tewas 0-3 kepada Australia.

Pemain muda yang kali pertama mendapat panggilan menyertai Skuad Senior Lelaki Kebangsaan, Tengku Nasrul Ikmal Hakimie Tengku Abd Rahim, telah diberikan kepercayaan untuk beraksi pada perlawanan hari ini dan sekaligus beliau berjaya meraih caps antarabangsa pertamanya.

Aksi separuh masa pertama berakhir dengan kedua-dua pasukan terikat seri tanpa sebarang jaringan dan statistik perlawanan menyaksikan Malaysian Tigers mempunyai satu percubaan sementara Australia memiliki tiga percubaan.

Australia memiliki kelebihan pukulan sudut penalti pada separuh masa pertama dan pujian harus diberikan kepada barisan pertahanan negara termasuk penjaga gol, Adrian Andy Albert, yang berjaya mematahkan percubaan lawan untuk menghasilkan gol.

Bersambung separuh masa kedua, selepas tiga percubaan pukulan sudut penalti, Australia memecah kebuntuan jaringan menerusi gol Jeremy Hayward pada minti ke-34 dan tiga minit sebelum aksi suku ketiga berakhir, satu lagi kelebihan pukulan sudut penalti diterjemahkan kepada jaringan kali ini menerusi penyudahan daripada Ky Willott.

Suku terakhir, Ky Willott menjaringkan gol peribadi keduanya apabila menyempurnakan pukulan sudut penalti dengan melakukan satu flik terus ke arah bawah sebelah kanan pintu gol negara pada minit ke-54 dan kedudukan 3-0 kekal menutup perlawanan hari ini.

Pengendali Skuad Senior Lelaki Kebangsaan, A. Arulselvaraj menyifatkan siri perlawanan ujian seperti ini amat penting untuk pasukan bagi melihat peningkatan demi peningkatan dan bermain dengan empat pasukan terbaik di dunia bagi menguji cara pemikiran serta keupayaan untuk terus kekal dalam fasa perlawanan.

ā€œPerlawanan terakhir hari ini, kami tewas 0-3 dan semuanya menerusi gol pukulan sudut penalti, di mana Austalia memiliki 12 pukulan sudut penalti. Seperti yang telah saya katakan sebelum ini kami ada banyak kerja yang perlu dilakukan dari sudut bertahan di dalam kawasan sendiri dengan menggunakan lebih banyak kekuatan badan serta otot kaki.

ā€œBanyak perkara yang kami pelajari dan perlu diperbaiki seperti kekuatan mental untuk berlawan dan kekuatan kaki untuk mengejar pemain Australia.

ā€œSudut positif yang boleh kami ambil dalam siri perlawanan ujian ini adalah pemain telah mula merasai bagaimana mereka boleh memberikan tentangan kepada pasukan seperti Australia dari sudut mental serta fizikal.

ā€œSelepas pulang ini jika kami mampu untuk menunjukkan penambahbaikan, pemain pastinya akan ke Piala Asia dengan lebih yakin serta percaya mampu untuk meraih kemenangan,ā€ jelas beliau.

Dalam pada itu, sesi penalti shoot-out terakhir hari ini turut menyaksikan Malaysia tewas 3-4 kepada Australia. Skuad Kebangsaan akan berangkat pulang ke Kuala Lumpur pada malam ini dan dijangka tiba pada esok pagi.

- Advertisement -