Perlawanan ketiga Siri Perlawanan Ujian Antarabangsa 2022 antara Malaysia dan Australia berlangsung hari ini di Stadium Hoki Perth dan Skuad Senior Lelaki Kebangsaan tewas 0-5 kepada Australia.
Perlawanan hari ini turut menyaksikan pemain negara, Muhajir Abdu Rauf meraih caps antarabangsa pertamanya bersama Skuad Senior Lelaki Kebangsaan.
Australia membuka tirai jaringan pada minit ke-11 selepas dihadiahkan dengan pukulan sudut penalti dan flik terus yang dilakukan oleh Jeremy Hayward di tengah pintu gol negara menghasilkan gol.
Berselang dua minit kemudian, Jake Harvie yang berada di sebelah kanan pintu gol negara, segera menyambut bola hantaran rakan sepasukannya dan menolak masuk bola tersebut untuk Australia terus berada di hadapan 2-0. Keputusan tersebut menutup aksi separuh masa pertama.
Bersambung separuh masa kedua, Jeremy Hayward menjaringkan gol peribadi keduanya dalam perlawanan ini menerusi flik terus yang dilakukan selepas Australia sekali lagi dihadiahkan dengan pukulan sudut penalti pada minit ke-37.
Malaysia hampir memecah kebuntuan jaringan pada minit ke-41 selepas dihadiahkan dengan pukulan sudut penalti namun percubaan Malaysian Tigers untuk mencari gol disekat oleh barisan pertahanan dan penjaga gol Austalia.
Minit ke-42, Australia yang terus menekan pintu gol negara dihadiahkan dengan pukulan sudut penalti dan Jeremy Hayward meledak gol hatrik hasil satu flik terus di bahagian bawah tengah pintu gol negara sekaligus menewaskan Adrian Andy Albert.
Australia menjaringkan gol kelima pada minit ke-55 selepas Jake Whetton yang berada di sebelah kanan pintu gol negara melakukan satu pukulan di sudut atas sebelah kiri pintu gol negara.
Malaysia sekali lagi dihadiahkan dengan pukulan sudut penalti namun kelebihan tersebut terus buntu untuk diterjemahkan kepada jaringan apabila percubaan Malaysian Tigers sekali lagi disekat oleh penjaga gol dan pertahanan Australia.
Pengendali Skuad Senior Lelaki Kebangsaan, A. Arulselvaraj menyifatkan peningkatan yang mendadak dapat dilihat daripada skuad bimbingannya walaupun tewas 0-5 pada perlawanan ketiga hari ini.
“Peningkatan yang mendadak dari segi tenaga serta usaha di dalam perlawanan dapat dilihat dimana hari ini kami memiliki dua pukulan sudut penalti dan nyaris diterjemahkan kepada gol. Kami juga berjaya untuk masuk ke dalam kawasan gol lebih banyak hari ini.
“Ia menunjukkan mereka bermain dengan lebih aggresif walaupun kami memberikan 10 pukulan sudut penalti kepada pihak lawan dan mereka menjaringkan tiga gol daripada 10 kelebihan pukulan sudut penalti tersebut.
“Kami mempunyai kerja yang perlu dilakukan dari segi bertahan di dalam kawasan gol di mana terlalu mudah kami menghadiahkan pukulan sudut penalti kepada lawan. Esok merupakan hari rehat untuk kami sebelum turun untuk perlawanan terakhir,” jelasnya.
Dalam pada itu, sesi penalti shoot-out yang diadakan selepas tamat perlawanan turut menyaksikan Malaysia tewas 3-4 kepada Australia. Khamis (28 April) Malaysian Tigers akan turun untuk perlawanan ujian terakhir bertemu Australia jam 12 tengah hari waktu Malaysia.