kelantan-vs-lionsxii-2015

Oleh Muhammad Aiman

Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), hari ini mengumumkan pelantikan semula legenda bolasepak negeri itu, Zahasmi Ismail sebagai ketua jurulatih baru bagi menghadapi Liga Malaysia 2017 yang akan bermula Januari nanti. 

Timbalan Presiden KAFA, Datuk Sri Affandi Hamzah berkata rekod baik The Red Warriors sepanjang dibimbing Zahasmi pada penghujung 2015 memudahkan barisan exco KAFA untuk membuat keputusan justeru menyatakan keyakinan terhadap kredibiliti pengendali berusia 49 tahun itu untuk mengembalikan semula kegemilangan bolasepak Kelantan.

“Selepas beberapa siri perbincangan dengan jawatankuasa eksekutif, kita tawarkan kontrak selama setahun kepada Zahasmi dan beliau bersetuju dengan syarat yang ditetapkan KAFA. Kita serahkan sepenuhnya kepada beliau untuk memacu perjalanan TRW 2017.

“Faktor utama pemilihan Zahasmi adalah kerana beliau bukan sahaja sinonim dengan bolasepak Kelantan, tetapi telah mempunyai sejarah membimbing Kelantan sebelum ini selain mempunyai pengalaman luas dan kepakaran dalam bidang bolasepak.”

Untuk rekod, jawatan ketua jurulatih Kelantan kosong selepas Velizar Popov membuat keputusan tidak menerima tawaran kontrak baru dari KAFA pada Oktober lalu.

Nama Zahasmi sememangnya menjadi calon pilihan sejak daripada awal bersama-sama Hashim Mustapha untuk mengisi kerusi panas jurulatih Kelantan, yang sudahpun ‘diduduki’ enam jurulatih berbeza sejak 2014.

Sebelum ini dia pernah membimbing skuad Piala Presiden Kelantan muncul juara pada 2011, dan kemudiannya bertindak sebagai penolong kepada beberapa ketua jurulatih skuad senior antaranya Peter Butler, Bojan Hodak, Steve Darby dan George Boateng.

Malah dia juga pernah dilantik sebagai ketua jurulatih sementara pada pertengahan 2015, menggantikan Azraai Khor Abdullah yang melepaskan jawatannya sebelum membuat keputusan beralih angin mencari pengalaman luar dengan membimbing MOF FC yang bersaing dalam Piala FAM.

- Advertisement -