Hasrat pemain skuash remaja negara, S.Sivasangari untuk menutup tirai 2017 dengan nota gemilang tidak kesampaian setelah tewas dalam aksi final Kejohanan Skuash Antarabangsa CAS di Pakistan pada Jumaat.
Sivasangari, pemain berusia 18 tahun mendapati pemain nombor 11 dunia dari Hong Kong, Annie Au terlalu unggul untuk disaingi apabila tewas 0-3 (5-11, 7-11, 1-11) dalam masa 32 minit sekaligus berpuas hati dengan pencapaian selaku naib juara.
Begitupun pemain kelahiran Kedah itu tetap boleh berbangga dengan prestasi cemerlang ditunjukkannya sepanjang laluan ke final – menewaskan pilihan keenam, Nada Abbas dari Mesir di pusingan pertama, pilihan kedua Hania El Hammamy di suku akhir serta pemain veteran Rachel Grinham yang juga pilihan kelima di separuh akhir.
Di sebalik kegagalan muncul juara, Sivasangari merupakan pemain Malaysia terbaik dalam kalendar Jelajah Persatuan Skuash Professional musim ini setelah mengharungi separuh kedua tahun 2017 dengan rentak cemerlang memenangi 20 daripada 23 perlawanan.
Dia mengetuai cabaran Malaysia memenangi pingat perak di Kejohanan Berpasukan Remaja Dunia di New Zealand pada Julai, kemudiannya memenangi dua pingat emas di temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 pada Ogos.
Sivasangari selepas itu menambah tiga lagi kejuaraan dalam koleksinya dengan memenangi Siri Jelajah Malaysia no.11 dan Piala Cabaran Beijing pada September, disusuli Terbuka Malaysia pada Oktober manakala pada bulan lalu muncul naib juara Terbuka Australia.