foto – Football Association of Malaysia (Official)

 

Skuad bawah 22 tahun negara memilih jalan sukar dalam saingan Kejuaraan B22 AFF 2019 di Phnom Penh apabila tewas 0-1 kepada tuan rumah, Kemboja.

Ketiadaan pemain pemain yang ‘diperlukan’ oleh Datuk Ong Kim Swee untuk mengharungi kempen Kejuaraan AFF Bawah 22 Tahun jelas dirasai apabila prestasi yang agak hambar susulan kawalan bola yang lemah serta komunikasi dikalangan pemain yang tampak belum efektif.

Kemboja tampak lebih menguasai perlawanan menerusi percubaan percubaan berbahaya dan peluang terbaik tuan rumah untuk mendahului hadir di penghujung babak pertama, namun tandukan penyerang, Narong Kakada tersasar meskipun hanya berdepan penjaga gawang negara, Muhd Haziq Nadzli.

Rentak pemainan skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee tampak lebih menyerlah di babak kedua perlawanan apabila lebih menguasai perlawanan.

Tatkala rancak mengatur gerakan, malang buat Malaysia apabila bermain dengan 10 pemain di minit 61 selepas pemain tengah, Muhd Danial Haqim Draman dilayangkan kad kuning kedua selepas melakukan kekasaran ke atas pemain lawan.

Peluang ini dimanfaatkan Kemboja apabila berjaya merobek gawang Malaysia menerusi sepakan percuma Sath Rosib yang melepasi jangkauan Haziq Nadzli.

Satu gol ini sudah cukup untuk Kemboja memastikan tiga mata penting diraih untuk meletakkan Kemboja di tangga teratas kumpulan B, dua mata didepan Indonesia dan Myanmar yang meraih satu mata selepas terikat satu sama.

Malaysia akan berdepan Indonesia pada Rabu dalam misi mencari kemenangan sulung untuk menghidupkan peluang ke separuh akhir.

- Advertisement -