Aksi persahabatan kedua skuad bawah 23 tahun negara kendalian Datuk Ong Kim Swee berakhir dengan kekalahan selepas tumpas 0-2 kepada BG Pathum United petang semalam.
Datuk Ong Kim Swee menerusi laman sosial twitter ternyata kecewa dengan persembahan anak didiknya yang memberi ruang kepada pihak lawan untuk memanfaatkanpeluang terhidang sekaligus menjaringkan gol.
“Persembahan mengecewakan walaupun pasukan Bangkok Glass menurunkan barisan kedua terbaik mereka.
“Kesilapan dan pergerakan yang mudah dibaca oleh pihak lawan memberi pasukan BGFC lebih keyakinan mengawal permainan dan terus menghukum melalui kesilapan pasukan kita sendiri,”kata Kim Swee.
Malaysia akan meneruskan kempen perlawanan persahabatan di Bangkok menentang Army United FC pada Rabu sebelum melengkapkan aksi dengan Ayutthaya United FC pada 18 Januari.
Terdahulu, skuad bawah 23 tahun negara tewas 0-1 dalam aksi persahabatan pertama menentang MIFA di Nilai pada Sabtu lalu sebelum berlepas ke Bangkok keesokan harinya.
Perlawanan persahabatan merupakan salah satu daripada jadual latihan pusat Datuk Ong Kim Swee buat 26 pemain yang dipanggil sebagai persiapan untuk mengharungi Kejohanan Piala AFF B23 dan Kelayakan Kejuaraan AFC 2020 yang akan berlangsung pada bulan Mac nanti