Pasukan badminton negara membuka tirai aksi peringkat kumpulan Sukan Komanwel Gold Coast 2018 dengan mencatat kemenangan mudah 5-0 ke atas Ghana dalam aksi berpasukan campuran di Carrara asports and Leisure Center.
Mata pertama disumbangkan oleh pasangan beregu lelaki, Goh V Shem-Tan Wee Kiong yang menang 21-8, 21-11 ke atas Abraham Ayittey-Michael Baah disusuli Soniia Cheah yang menewaskan Stella Amasah 21-3, 21-5.
Mata ketiga yang juga mata kemenangan dihadiahkan Datuk Lee Chong Wei menerusi kemenangan 21-2, 21-7 ke atas Daniel Sam dan dua lagi mata kemudiannya menyusul menerusi gandingan beregu wanita Vivian Hoo-Chow Mei Kuan serta beregu campuran Chan Peng Soon-Goh Liu Ying.
Malaysia selepas ini akan berdepan pula dengan Seychelles dan Kanada pada Jumaat dan dijangka tidak berdepan masalah untuk mempertahankan pingat emas yang telah dimenangi sejak tiga edisi berturut-turut.
Sebagai makluman, acara berpasukan akan berlangsung hingga 9 April manakala bagi acara individu pula akan berlangsung dari 10 hingga 15 April.
Empat tahun lalu di Glasgow, selain pingat emas acara berpasukan campuran, Malaysia turut memenangi emas menerusi acara beregu lelaki (V Shem-Wee Kiong) dan beregu wanita (Vivian-Woon Khe Wei). Untuk edisi kali ini Persatuan Badminton Malaysia mensasarkan tiga emas dapat dibawa pulang. – OLEH MUHAMMAD AIMAN