Skuad Bawah 23 Tahun (B-23) kebangsaan pulang dengan tangan kosong, selepas tewas kepada Indonesia 3-4, dalam penentuan sepakan penalti pada perlawanan merebut pingat gangsa saingan bola sepak lelaki Sukan SEA ke-31 di Stadium Nasional My Dinh, Vietnam

Aksi 90 minit berakhir dengan keputusan 1-1 selepas Ronaldo Joybera R Junior dan penyerang gantian pasukan negara Muhammad Hadi Fayyadh Abdul Razak, masing-masing menjaringkan gol pada babak kedua perlawanan.

Aksi penentuan sepakan penalti, penjaga gol lawan Ernando Ari Sutaryadi muncul wira apabila menyelamatkan dua daripada lima sepakan lemah yang diambil Muhammad Hadi dan Luqman Hakim Shamsudin, sementara sepakan pemain Indonesia Asnawi Mangkualam Bahar menggegar palang.

Ia merupakan kekalahan kedua berturut-turut dicatat skuad bimbingan Brad Maloney dalam kempen temasya sukan dwitahunan itu, selepas kecundang di tangan Vietnam pada aksi separuh akhir Khamis lepas.

Untuk rekod, ini merupakan edisi kedua berturut-turut skuad B-23 kebangsaan gagal meraih sebarang kilauan pingat di Sukan SEA, selepas meraih pingat perak pada edisi 2017 di Kuala Lumpur sewaktu dibimbing Datuk Ong Kim Swee.

- Advertisement -