Skuad catur paralimpik negara mendapat suntikan semangat menerusi beberapa tip yang diberikan Juara Catur Dunia dari Rusia, Grand Master Anatoly Yevgenyevich Karpov.

Jurulatih catur paralimpik negara, Prof Dr. Nasrul Muhaimin Kohamood berkata kehadiran Grand Master Anatoly Karpov di Kejohanan Gold Dis Malaysian Challenge baru-baru ini adalah satu peluang yang bermakna buat skuad catur kendalian beliau.

“Pada 27 hingga 3 September lalu, kami dapat tahu Juara catur dunia, Anatoly Karpov datang menyaksikan perlawanan catur Kejohanan Gold Dis di Mid Valley.

“Kami terus mendapatkan beberapa tip daripada beliau kerana itu adalah satu peluang yang bermakna untuk kami dan Alhamdulillah beliau tidak lokek ilmu mengongsikan pengalaman dan trik permainan,” katanya ketika ditemui di sidang media Program Kita Juara 2017, Sukan Para Asean di Hotel Seri Pacific hari ini (7 September).

Ditanya mengenai sasaran yang diletakkan, Prof Dr. Nasrul optimis dengan meletakkan sasaran lima pingat emas menerusi kategori catur individu dan berkumpulan.

“Apa yang membuatkan kita begitu yakin dengan sasaran lima pingat emas ini sudah tentu dengan beberapa tip yang diberikan Grand Master Anatoly Karpov kepada pemain kita.

“Selain itu, kita juga mendedahkan pemain catur kita dengan perlawanan berlawan dengan pemain normal di Kejohanan Gold Dis baru-baru ini dan apa yang saya dapat katakan, pemain kita bukan calang-calang kerana mereka juga mampu bermain bersama dengan pemain yang normal.

“Namun, kami juga akan berusaha sedaya upaya mencapai target yang dipertaruhkan dan berharap pemain dapat fokus dan cuba berikan yang terbaik semasa Sukan Para Asean nanti,” katanya lagi.

Atlet catur paralimpik, Aqila Shahira Ahmad berkata, “Dua tahun lepas saya hanya mampu meraih pingat perak sahaja dan untuk Sukan Para Asean kali ini saya ingin merebut kembali pingat emas yang pernah saya peroleh pada 2009 dengan menyumbang empat daripada sembilan emas yang diraih skuad catur ketika itu,” kata Aqila.

Bagi Siti Safura Jaafar pula, beliau berharap kemunculan sulung beliau pada Sukan Para Asean ini dapat menyumbang sesuatu kepada negara dengan meraih sebarang pingat.

“Sebenarnya saya pernah terlepas tiga kali Sukan Para Asean sebelum ini berikutan beberapa masalah kesihatan dan keluarga ketika itu.

“Jadi dengan peluang yang saya dapat ini tahun ini, saya harap saya dapat menyumbang kejayaan kepada skuad catur negara, itu janji saya,” kata Safura.

Untuk rekod, pada tahun 2009 (Para Asean Kuala Lumpur) skuad catur paralimpik negara meraih sembilan pingat emas dan ia adalah pencapaian terbaik mereka.OLEH HUSNIYAH GHAZALI

 

- Advertisement -