LAGU Negara Ku bergema di Stadium Titiwangsa buat pertama kali, meraikan kejayaan skuad Chinlone Malaysia yang menghadiahkan emas pertama Sukan SEA 2017 buat negara apabila mengatasi Filipina dalam acara Chinlone Event 3 (Linking) pada Rabu (16 Ogos).
Buruan negara untuk menepati sasaran 111 emas untuk muncul juara keseluruhan KL2017 bermula dengan langkah kanan, apabila emas pertama temasya yang sentiasa menjadi rebutan menjadi milik negara.
Tambah manis apabila Menteri Belia dan Sukan YB Brig Jen Khairy Jamaluddin, yang sentiasa berada di belakang kontinjen sebagai pendorong utama atlet, hadir mengalungkan pingat emas berharga kepada pemain negara.
Gandingan Muhd Faiz Roslan, Mohd Kamal Aizat Azmi, Ab Muhaimi Che Bongsu, Putera Aidil Israfi Kamaruzaman, Muhamad Asyraaf Abd Hadi, dan Izuan Afendi Azlan nyata menjadi dengan kawalan bola yang kemas yang membolehkan mereka mengumpul mata keseluruhan 391.
Filipina yang dibarisi John Jeffery Morcillos, John Bobier, Rhemwil Catana, Ronsited Gabayeron, Joeart Jumawan, dan Alvin Pangan terpaksa berpuas hati dengan pingat perak selepas mengumpul dengan 271 mata.
Pusingan pertama menyaksikan Malaysia Nampak gugup pada awal permainan tetapi berjaya mengumpul kekuatan dan tenang apabila memasuki minit ketiga hingga berjaya mendahului Filipina dengan kedudukan 62-40 sebelum menamatkan pusingan dengan 197-133.
Malaysia terus memberi tekanan ke atas lawan apabila masuk pusingan kedua dengan kawalan bola yang kemas dan aksi yang tenang, dan akhirnya berkesudahan dengan catatan 194-138.
Terdahulu, pada pusingan awal, Malaysia mengesahkan slot ke final apabila mengumpul 376 mata selepas mengharungi dua pusingan.
Filipina pula mara ke akhir dengan kejayaan mengumpul 293 mata diikuti Brunei, yang meraih gangsa, dengan catatan 157 mata.