Oleh Muhammad Aiman
Ketua jurulatih skuad futsal kebangsaan, Chiew Chun Yong menyifatkan tiga perlawanan persahabatan Malaysia bertemu kelab Thailand di Bangkok bermula esok sebagai tempoh cukup penting menjelang sepak mula Kejuaraan Futsal AFF 2016 pada 23 Januari ini.
Barisan 14 pemain skuad Harimau Malaysia berlepas ke Bangkok, pada Ahad untuk siri perlawanan persahabatan menentang Bangkok FC pada 16 Januari (Isnin), Royal Thai Navy pada 18 Januari (Rabu) dan Bangkok BTS pada 20 Januari (Jumaat).
“Setiap perlawanan itu nanti saya akan cuba beberapa taktikal dan strategi untuk melihat sama ada pemain kita terutama pemain muda boleh melakukan sistem yang diterapkan terutama apabila berdepan lawan yang memiliki skil, corak permainan dan kepantasan lebih tinggi.
“Selain itu, kita juga akan lebih banyak mengkaji corak permainan dan apa lagi yang perlu diperbaiki dalam tempoh seminggu sebelum kejohanan sebenar bermula.
“Apa yang paling penting adalah untuk melihat sejauh mana kemampuan pemain menyesuaikan diri dengan corak permainan dan strategi kita,” kata Chun Yong kepada pemberita sebelum berlepas ke Bangkok.
Terdahulu sejak dikumpulkan untuk kem latihan pusat bermula 22 Disember lalu, skuad Harimau Malaysia menang lima perlawanan persahabatan tempatan bertemu UPSI 12-0 (30 Disember), KL Petaling Putra 12-2 (31 Disember), Kuantan Rangers 5-2 (7 Januari), Kuala Lumpur TPD 13-0 (8 Januari) dan MBPP 7-0 (10 Januari) sebelum diikat Pahang 4-4 pada Jumaat lalu.
“Secara jujurnya, pasukan ini masih belum mencapai tahap yang saya inginkan sepanjang siri aksi persahabatan tempatan sebelum ini, terutama dari segi sistem permainan. Para pemain nampak tidak begitu biasa lagi dengan sistem baharu ini.
 “Tapi saya faham yang para pemain memerlukan masa dan lebih lagi perlawanan untuk membiasakan diri menggunakan sistem ini. Jadi harap mereka lebih fokus dan berusaha lebih gigih memperkemaskan corak permainan menjelang sepak mula kejohanan,” jelas Chun Yong.
Skuad futsal Harimau Malaysia bakal membuka kempen Kejuaraan Futsal AFF 2016 bagi saingan Kumpulan B bertemu Indonesia pada 23 Januari diikuti aksi kedua bertemu Laos (24 Januari) dan aksi ketiga bertemu Myanmar (25 Januari).
Jika layak ke separuh akhir, mereka akan bertemu pasukan dari Kumpulan A yang terdiri daripada Thailand, Brunei dan Timor-Leste pada 27 Januari untuk memburu tempat ke pentas final pada 29 Januari.
 Kesemua perlawanan dijadual berlangsung di Stadium Tertutup Huamark, Bangkok.