Oleh Muhammad Aiman
Ketua jurulatih skuad futsal wanita kebangsaan, Mohd Fairuz Mohd Noor meletakkan sasaran sekurang-kurangnya meraih pingat perak di temasya Sukan Sea Kuala Lumpur 2017.
Bagi memastikan hasrat itu menjadi kenyataan, Fairuz membuat rombakan besar pada pasukannya apabila mengekalkan hanya tujuh pemain dari skuad yang menduduki tempat keempat di Kejuaraan Futsal Wanita AFC 2015 dalam senarai 20 pemain terbaru yang dipanggil menjalani latihan pusat bermula Khamis, 10 November.
Tujuh pemain tersebut adalah Fatin Shahida Azmi, Nur Shazreen Munazli, Siti Norazizah Jamal, Nur Izzati Khairudin, Nurul Atiqa Zaifulizan, Farahiyah Ridzuan dan Norhawa Md Yassin manakala selebihnya adalah pemain baru.
Kesemua mereka akan terlibat dalam kem latihan pusat fasa satu yang dijadual berlangsung selama 10 hari sehingga 19 November depan di KSL Sports Puchong.
“Saya mengekalkan tujuh pemain ini kerana saya berpendapat kelompok ini rata-rata masih muda dan telah menunjukkan prestasi memberangsangkan. Secara realistik, sasaran saya untuk Sukan Sea tahun depan adalah layak ke final kerana sebelum ini saya telah mengendali pasukan futsal wanita untuk mendapat pingat gangsa di Myanmar 2013.
“Walau bagaimanapun, kem latihan pusat ini bukan untuk Sukan Sea sahaja malah sebagai persediaan menghadapi Asian Indoor Games dan Kejuaraan Futsal Wanita AFC tahun depan. Bagi saya gandingan pemain muda dan senior ini dapat memperkuatkan pasukan kita bagi jangka masa panjang,” kata Mohd Fairuz.
Mohd Fairuz dilantik sebagai jurulatih baru skuad futsal wanita pada September lalu, menggantikan Chiew Chin Yong yang kini merupakan ketua jurulatih skuad futsal lelaki.
Jurulatih berusia 37 tahun itu akan dibantu oleh dua penolong iaitu Ruzaley Abdul Aziz dan Muizzudin Mohd Haris bagi membentuk sebuah pasukan mantap dalam tempoh lebih kurang 10 bulan yang berbaki sebelum berlangsungnya temasya dwitahunan itu.
Senarai pemain :
Fatin Shahida Azmi, Nur Shazreen Munazli, Naziratul Amira Ahmad Nazri (MPSJ FC), Siti Norazizah Jamal, Nur Izzati Khairudin, Zur’ Ain Kamarudin (Selangor), Farah Najihah Abdul Aziz, Nurul Atiqa Zaifulizan, Farahiyah Muhd Ridzuan, Norhawa Md Yasin (Felda Utd), Nur Aisyah Mohd Tahir, Fadhatul Najwa Nurfarahain Azmi, Noorasyiemah Mohd Rashid (Perak), Nuralin Shafika Omar, Nur Madiha Nadzari, Nur Syazwina Syuib (Kedah), Norhidayah Md Amin (Kuala Lumpur), Fifi Safeena Zaini (PDRM), Nor Faizah Md Akhir (UM), Nurul Hamira Yusma Mohd Yusri (UTHM)