Kejayaan dua atlet angkat berat negara meraih emas semalam tampak belum mampu menyuntik semangat juang pasukan hoki lelaki dan wanita negara apabila tewas dalam aksi pembukaan pada hari kedua Sukan Komanwel 2018.
Skuad hoki lelaki negara terpaksa menelan hakikat tewas 0-7 kepada England dalam aksi pembukaan kumpulan B di Pusat Hoki Gold Coast.
England yang juga naib juara Piala Sultan Azlan Shah Mac lalu ternyata tidak memberi banyak ruang kepada pemain Malaysia untuk melakukan percubaan.
Stephen Van Huizen ternyata kecewa dengan keputusan ini, namun tetap mengharapkan kebangkitan pada prlawanan seterusnya.
‘Secara keseluruhan ia bukan permulaan yang baik untuk kami apabila tewas 0-7 kepada England. Kami berjaya mengimbangi perlawanan di suku pertama namun minit akhir mereka menjaringkan gol dan saya sendiri tidak pasti adakah ia satu jaringan sebenarnya,’kata Van Huizen.
Sam Ward dan Mark Gleghorne masing masing menyumbat dua gol untuk England manakala Divid Goodfield, HarryMartin dan Phil Roper mencetak satu gol.
‘England memperoleh lapan pukulan sudut penalti dan mereka hanya berjaya menjaringkan dua daripadanya.
‘Kami akan cuba memperbaiki setiap kekurangan hari ini supaya tidak berulang pada pertemuan esok dan saya berharap pemain akan bangkit pada pertemuan dengan Wales’,katanya lagi.
Malaysia menghuni tangga keempat kumpulan B dan akan turun berdepan Wales untuk aksi kedua jam 9.30 pagi waktu tempatan.
Sementara itu, pasukan wanita negara juga turut menerima nasib yang sama apabila tewas 1-4 kepada India dalam saingan pembukaan kumpulan A.
India membuka tirai gol menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan Gurjit Kaur, namun Malaysia menyamakan kedudukan hasil gerakan pukulan sudut penalti yang disudahkan Nuraini Rashid di minit ke 36.
Aksi longlai skuad kendalian Dharmaraj kian terserlah selepas Gurjit menyumbat gol kedua untuk meletakkan India kembali didepan di minit ke 39.
Kapten pasukan, Rani melebarkan kedudukan untuk India di minit ke 56 sebelum Lalresiami melengkapkan kemenangan mutlak untuk pasukannya tiga minit selepas itu.
‘Saya fikir kami bermain dengan baik ketika menentang India di Piala Asia. Kami melepaskan dua gol menerusi PC dan dua gol terakhir agak mengecewakan.
‘Kita perlu mencari kemenangan ketika menentang Afrika Selatan esok selepas Wales berjaya meraih 3 mata ke atas India semalam,’kata Dharmaraj.
Skuad hoki wanita negara akan turun berdepan Afrika Selatan dalam misi mencari kemenangan sulung 7.30 malam waktu tempatan . OLEH KU MOHD LUFTI