Perlawanan persahabatan diantara Negeri Sembilan menentang PKNS FC berkesudahan dengan kemenangan milik Jang 4-0.

Aksi persahabatan bertujuan menguji kecergasan dan keserasian pemain yang baru menyertai skuad kendalian Asri Ninggal, iaitu Nik Shahrul Azim, Sabre Mat Abu dan juga Johnathan Behe.

Ketiga-tiga pemain ini boleh dikatakan sudah hampir serasi dengan corak permainan yang digunakan oleh jurulatih pasukan Negeri Sembilan, Asri Ninggal.

Meskipun tidak bermain sepanjang 90 minit pemain yang boleh dianggap menyerlah ialah Sabre susulan pergerakannya yang lincah dan bijak membaca pergerakan lawan untuk mengekang asakan ketika bertahan.

Nik Shahrul Azim pula ketika menentang JDT II baru baru ini juga boleh diberikan pujian kerana aksi yang konsisten.

Tonggak import, Johnathan Behe pula dilihat boleh menggalas tugas yang ditinggalkan Marko Simic selepas digugurkan dari skuad Negeri Sembilan.

Malah, Behe berjaya mencatat nama sebagai penjaring sekaligus membuktikan beliau bersedia untuk menabur bakti bagi memastikan misi ke Liga Super musim depan menjadi kenyataan.

Kawalan bola yang tenang, dan bijak membuka permainan kepada rakan sepasukan merupakan ciri penting yang perlu ada sebagai seorang ‘target man’.

Apa yang boleh diperbaiki pada masa depan ialah mencari pemain tengah yang mampu membuka permainan untuk skuad Hobin Jang Hobin untuk menggerakkan jentera serangan dengan lebih berkesan. 

Sepanjang musim ini, kudrat Nemanja Vidic dan Lee Tuck diperah secukupnya untuk menggerakkan jentera serangan.

Skuad Jang pasti akan lebih ampuh jika berjaya memperoleh seorang pemain tengah  seperti Azam Azih atau Hafiz Kamal kerana kemahiran untuk mencipta sesuatu dengan hanya satu hantaran.

Namun dengan jendela perpindahan yang kian hampir ke penghujungnya kini, pasti ianya tugas sukar untuk memancing pemain berkebolehan tinggi seperti yang dinyatakan.

Segelintir peminat menyuarakan perasaan gusar kerana Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan bertindak untuk menggugurkan Marko Simic daripada pasukan.

Ini kerana mereka menganggap tindakan ini dijangka tidak mengubah skrip pengakhiran musim bagi  skuad Jang yang dianggap seperti musim lepas ketika PBNS melepaskan Andrew Nabbout dan juga Joel Chianese yang merupakan penjaring terbanyak untuk pasukan. 

Sebab dan alasan mengapa Andrew dan Joel dilepaskan musim lepas tidak dapat dibincangkan secara terbuka.

Cuma, keputusan untuk menamatkan kontrak Simic dilihat sejajar dengan objektif Nismilan yang begitu dahaga untuk beraksi di Liga Super.

Kegagalan jentera serangan Negeri Sembilan yang hanya mampu menjaringkan 7 gol dalam 9 perlawanan kompetitif terakhir jelas sekali menggusarkan.

Walaupun berada di persada Liga Perdana ketika ini, perbezaan mata dengan Terengganu, Kuala Lumpur dan PKNP FC  tidak begitu ketara dan peluang untuk memintas masih terbuka luas.

Sama ada Johanthan Behe benar-benar mampu membantu Skuad Hoben Jang Hoben ke Liga Super musim depan hanya akan dibuktikan ketika pusingan kedua Liga Perdana bermula.

Memetik kata-kata seorang kenalan yang arif dalam arena bola sepak tempatan, “Bolasepak adalah perjudian. Untuk berjaya, kita harus buat keputusan yang sukar”.

Negeri Sembilan akan membuka separuh masa kedua saingan Liga Perdana menentang Perlis di laman sendiri pada 30 Jun dalam misi melebarkan jurang mata sekaligus mencerahkan peluang untuk ke Liga Super musim depan. –  OLEH MOHAMAD KARAMI MOHD KAMEL

- Advertisement -