Oleh Ku Mohd Lufti
Skuad Piala Thomas negara memulakan saingan kumpulan C dengan langkah kanan selepas menang ke atas England 4-1.
Kapten negara, Datuk Lee Chong Wei tidak berdepan masalah untuk menundukkan Toby Penty straight set 21-15, 21-11 untuk mmberikan mata pertama untuk Malaysia.
Turut mengikuti jejak Chong Wei adalah gandingan beregu Goh V Shem, Tan Wee Kiong yang menang ke atas Marcus Ellis, Chris Langridge 21-12, 21-17 dalam masa 40 minit.
Perseorangan kedua negara, Chong Wei Feng memastikan kemenangan pertama Malaysia selepas mengatasi cabaran Sam Parsons juga straight set 21-10, 21-10.
Impian Malaysia untuk melakar kemenangan 100 peratus tidak kesampaian apabila gandingan beregu kedua, Koo Kien Keat, Tan Boon Heong gagal menyerlah apabila tewas kepada Peter Briggs, Tom Wolfenden 8-21, 21-13, 17-21.
Kekecewaan itu bagaimanapun dipadam perseorangan ketiga, Gooh Soon Huat yang menang ke atas Alex Lane dalam pertarungan tiga set 21-15, 19-21, 21-13.
Malaysia menghuni tangga kedua dibelakang Korea Selatan yang melakar kemenangan 5-0 ke atas Jerman.
Skuad Piala Thomas negara akan menentang Jerman dalam aksi kedua manakala Korea Selatan berdepan England.