MALAYSIA memulakan cabaran hari ke-5 Sukan SEA 2017 dengan aksi cemerlang skuad boling padang yang menghasilkan emas dalam acara triple lelaki di Pusat Boling Padang Nasional di Bukit Kiara hari Jumaat (25 Ogos).
Gandingan Mohammad Syamil Syazwan Ramli, Mohd Amir Mohamed Yusof dan Mohamad Fairus Abd Jalal mengetepikan trio Brunei, Ampuan Ahad Ampuan Kasim, Pengiran Tengah Pengiran Tejudin dan Naim Ibrahim 19-9 untuk muncul juara. Gangsa dimenangi Thailand setelah mengalahkan Filipina 20-13.
Emas berkenaan merupakan yang kedua diraih Malaysia dalam boling padang. Pada Khamis (24 Ogos), pasukan fours wanita negara terdiri daripada Norhashimah Ismail, Nur Ain Nabilah Tarmizi, Nur Fidrah Noh dan Nurul Alyani Jamil mengalahkan Marisa Baronda, Nancy Toyco, Nenita Tabiano dan Sharon Hauters dari Filipina 24-14.
“Kami kini di landasan yang tepat dengan dua emas sudah di tangan. Para pemain kini dalam keadaan bersedia untuk bertarung,” kata pengurus pasukan Malaysia, Abd Hadi Rasip.
Bagaimanapun, pasukan fours lelaki Malaysia yang diwakili Daeng Dhadyry Dahasry, Izzat Shameer Dzulkeple, Safuan Said dan Zulhilmie Redzuan gagal meraih emas setelah tewas 14-16 kepada Filipina pada perlawanan akhir hari Khamis.
Sebanyak lapan pingat emas menjadi buruan dalam boling padang yang akan berakhir pada Ahad.