Skuad bolasepak wanita negara berjaya mencapai sasaran dua kemenangan yang diletakkan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) di Kejohanan Bolasepak Wanita AFF 2018.
Dalam aksi terakhir peringkat kumpulan yang berlangsung pada Ahad, Malaysia mencatat kemenangan 4-0 ke atas Timor Leste di Stadium Bumi Sriwijaya, Palembang.
Meskipun kemenangan tersebut tidak membawa sebarang makna, ia boleh dianggap sebagai penawar duka buat skuad bimbingan Jacob Joseph yang diaibkan 0-8 oleh juara bertahan Thailand dalam aksi ketiga pada Jumaat lalu yang sekaligus menutup terus peluang mengulangi pencapaian mara ke separuh akhir pada 2013.
Pasukan wanita negara mendahului 2-0 di separuh masa pertama menerusi jaringan Jaciah Jumilis (m-14) dan Sihaya Ajad pada (m-19) sebelum menambah dua jaringan lagi di babak kedua menerusi Norsuriani Mazli (m-68) dan Usliza Usman (m-81).
FAM sememangnya tidak meletakkan harapan besar di kejohanan ini di mana Pengerusi Jawatankuasa Bolasepak Wanita, Datuk Suraya Yaacob sebelum ini berkata hanya dua kemenangan disasarkan dibawa pulang. Malaysia menjadikan kejohanan ini lebih kepada pendedahan untuk persiapan Sukan SEA Filipina 2019.
Kemenangan menyaksikan Malaysia berkesudahan di tangga ketiga Kumpulan A dengan enam mata di belakang Australia bawah 20 tahun dan Thailand. Mereka sebelum ini tewas kepada skuad Australia B20 dalam aksi pembukaan dan kemudiannya menang 4-0 ke atas Kemboja. – OLEH MUHAMMAD AIMAN