Akademi Johor Darul Takzim, SMK Bukit Indah terlepas peluang terbaik untuk melonjak ke kedudukan teratas 100PLUS Liga Super Piala Menteri Pendidikan Malaysia (KPM) B-14 setelah mengalami kekalahan 1-2 kepada Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP) ‘A’ B-13 pada Sabtu.

Setelah menang enam perlawanan terakhir, SMK Bukit Indah mencari kemenangan ketujuh berturut-turut bukan sahaja mahu memintas kedudukan Sekolah Sukan Negeri (SSN) Pulau Pinang, SMK Mutiara Impian selaku pendahulu tetapi turut mencerahkan peluang layak ke separuh akhir.

Namun SSMP ‘A’ B-13 bimbingan Osmera Omaro menafikan hasrat itu menerusi dua jaringan Zubaidi Mohd Buang pada minit ke-16 dan 33 dalam aksi berlangsung di Akademi Mokhtar Dahari, Gambang.

Keputusan itu menyaksikan SMK Mutiara Impian yang tidak beraksi minggu lalu kekal selaku pendahulu dengan 20 mata manakala SSMP ‘A’ B-14 yang menewaskan Akademi Felda, SMK Presint 14 (1) Putrajaya melonjak ke tangga kedua dengan 19 mata.

SMK Bukit Indah dengan 18 mata tergelincir ke tangga ketiga sementara SSMP ‘A’ B-13 yang turut mengumpul 18 mata di kedudukan keempat sekaligus menjadikan perebutan tempat ke separuh akhir berlangsung sengit antara empat pasukan itu.

Dalam satu lagi aksi di Gambang, hatrik jaringan Najmudin Akmal Kamal pada minit ke-12, 15 dan 21 membantu SSMP ‘A’ B-14 menjinakkan Akademi Felda dengan keputusan 5-1. Dua lagi jaringan buat skuad bimbingan Effendi Malek itu dijaringkan Ziad El Basheer dan Haikal Rosli.  

Dengan kesemua tiga pasukan lain mempunyai satu perlawanan untuk ditamatkan, kelebihan untuk memburu tempat ke separuh akhir ketika ini jelas memihak kepada SSMP ‘A’ B-14 yang masih mempunyai tiga perlawanan untuk diharungi.

Hanya dua pasukan teratas Liga Super akan mengesahkan tempat di kelompok empat terakhir dan mereka akan disertai oleh dua pasukan dari Liga Perdana.

Sementara itu, aksi Liga Perdana Piala KPM B-14 pula menyaksikan SSN Kedah, SMK Tunku Anum terlepas peluang muncul pasukan pertama layak ke separuh akhir setelah tewas 1-2 kepada SSMP ‘B’ B-14 menerusi jaringan Badrol Erfan dan Sappie Ashri.

Bagaimanapun, SMK Tunku Anum masih kekal selaku pendahulu dengan 20 mata namun kedudukan mereka berpotensi tergugat kerana sedang dihimpit SMK Putera (SSN Kelantan) dengan 18 mata dan SMK Gunung Rapat (SSN Perak) dengan 17 mata.

SMK Putera menyalakan peluang berada di kedudukan dua teratas setelah menewaskan Akademi ATM, SMK Kem Terendak 1-0 hasil jaringan tunggal Khairil Danial manakala SMK Gunung Rapat membelasah MSS Putrajaya dengan jaringan 6-0.

Irfan Amsyar menjaringkan hatrik pada minit ke-7, 55 dan 60 manakala tiga lagi jaringan oleh Fazril Faizul Umar, Haikal Rassid dan Hazim Jamal Hisam.

Turut menghidupkan peluang adalah SSN Selangor, SMK Seksyen 11 yang menundukkan SSN Melaka, SMK Seri Kota 2-1 di Subang Jaya.

 

KEPUTUSAN

LIGA SUPER PIALA MENTERI PENDIDIKAN B-14

 

SMK Za’ba (SSN N.Sembilan)                           1

SMK Syed Hassan (SSN Perlis)                         2

                                          

SSMP ‘A’ B-14                                                5

SMK Presint 14 (1) (Akademi Felda)                1

 

SSMP ‘A’ B-13                                                2

SMK Bukit Indah (Akademi JDT)                      1

 

SMK Bukit Nenas (SSN Terengganu)                1

SMK Seberang Temerloh (SSN Pahang)            2

 

KEPUTUSAN

LIGA PERDANA PIALA MENTERI PENDIDIKAN B-14

 

SMK Kem Terendak (Akademi ATM)                          0

SMK Putera (SSN Kelantan)                            1

 

SSMP ‘B’ B-14                                                         2

SMK Tunku Anum (SSN Kedah)                     1

 

SMK Seksyen 11 (SSN Selangor)                     2

SMK Seri Kota (SSN Melaka)                           1

 

SMK Gunung Rapat (SSN Perak)                 6

MSS Putrajaya                                                     0                            

- Advertisement -