Sekolah Sukan Negeri (SSN) Pulau Pinang, SMK Mutiara Impian bangkit daripada ketinggalan untuk mencatat kemenangan 2-1 ke atas juara bertahan SMK Bukit Nenas (SSN Terengganu) dalam aksi final yang berlangsung pada Sabtu untuk menjulang Piala Liga Remaja KPM-FAM 2017.
Mutiara Impian pada satu ketika berada di ambang kekalahan setelah ketinggalan kepada jaringan Hisyam Ismail pada minit ke-64 namun berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-90 menerusi sepakan percuma cantik Ameer Sedadi sekaligus mengheret perlawanan ke masa tambahan.
Zairul Nurhisyam Radzi muncul wira skuad digelar Black Tigers itu apabila rembatan kencangnya dari dalam kotak penalti pada minit kesepuluh masa tambahan menewaskan Khairul Hafizudin Omar Baki di gawang Bukit Nenas dan menghadiahkan kejuaraan buat pertama kali kepada pasukan itu.
Jurulatih Mutiara Impian, Noraffendi Taib memuji semangat juang dan sikap tidak berputus asa ditunjukkan pemainnya dan berpendapat ianya bukan mudah untuk pemainnya kembali dalam perlawanan yang mempunyai tekanan tinggi seperti ini. Â Â Â
âKita diasak dari awal dan ia mendorong pemain melakukan beberapa kesilapan tidak sepatutnya. Mereka mengambil masa sesuaikan diri dan memberi ruang kepada Bukit Nenas untuk memegang bola. Kunci utama adalah ketenangan dan keupayaan mereka untuk bermain di bawah tekanan.
âSaya gembira mereka tidak berputus asa dan mengerah segala kudrat untuk mengikat kedudukan. Mereka bermotivasi tinggi mahu menang kerana pasukan yang sama inilah tewas kepada Bukit Nenas pada final B-14 beberapa tahun lalu, dan mereka berjaya lakukannya,â kata Noraffendi.
Perlawanan yang turut disaksikan oleh Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Subahan Kamal serta Pengarah Teknikal baru FAM, Peter De Roo itu menyaksikan kedua-dua pasukan bermula dengan permainan menyerang pantas. Â
Namun, Bukit Nenas dilihat lebih unggul dan mendominasi sebahagian besar permainan dengan melancarkan serangan bertali arus dan seringkali mengancam menerusi gandingan empat pemain di barisan depan â Zulfikri Muhamad, Syafiq Ismail, Hisyam Ismail dan Azuhal Aiman Abdul Rahman.
Namun kehilangan Zulfikri, pemain yang meledak hatrik ketika separuh akhir seawal minit ke-20 kerana kecederaan nyata merencatkan sentuhan penyudah pasukan bimbingan Zainuddin Mohd Zain itu sekaligus menyaksikan sekurang-kurangnya lima peluang keemasan disia-siakan.
Setelah gagal memecah kebuntuan di separuh masa pertama, usaha Bukit Nenas akhirnya berhasil apabila Hisyam menyempurnakan hantaran Syafik untuk meletakkan pasukan itu mendahului 1-0 pada minit ke-64. Â
Mutiara Impian cuba bangkit mengimbangi permainan namun mendapati ianya sukar untuk menembusi pertahanan Bukit Nenas dan pada ketika pasukan itu semakin hampir untuk menjulang trofi buat kali keempat dalam tempoh lima tahun, Ameer memastikan harapan itu punah menerusi sepakan percumanya yang sama sekali gagal dijangkau Khairul Hafizudin.
Minit ke-101, kesilapan Khairul Hafizudin yang gagal mengeluarkan bola sepakan percuma Aiman Zaidi dari kawasan bahaya pantas dihukum Zairul untuk gol kemenangan Mutiara Impian. Â Â
Pengurus Bukit Nenas, Nordin Ahmad, berkata mereka menerima kekalahan dengan terbuka dan mengakui keputusan perlawanan pastinya berbeza andai setiap peluang berjaya dimanfaatkan.
âIanya bukan hari kami, kami menguasai perlawanan, mencipta banyak peluang, dari segi prestasi pemain memang cukup berpuas hati tetapi kami gagal menjaringkan gol. Memang kecewa untuk tewas pada saat sudah begitu hampir untuk menang dan mengenggam trofi tetapi kami akur.
âKami boleh tamatkan permainan lebih awal andai semua peluang disudahkan, tetapi itulah bolasepak. Â Apapun kami akan bangkit semula tahun depan,â ujar Nordin.
Ini adalah kali kedua Bukit Nenas tewas dalam aksi final selepas 2009, ketika itu tewas kepada Sekolah Sukan Malaysia Bukit Jalil. – OLEH MUHAMMAD AIMAN