Sekolah Sukan Negeri (SSN) Pulau Pinang, SMK Mutiara Impian mengalami kekalahan pertama dalam saingan Liga Super Piala Menteri Pendidikan Malaysia (B-14) musim ini setelah tewas 0-1 kepada Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP) ‘A’ B-14 di gelanggang sendiri.

Gol tunggal buat SSMP ‘A’ B-14 dijaringkan oleh Akif Afizi Ramzi pada minit ke-14 sekaligus membantu mereka mengekalkan rekod bersih mencatat empat kemenangan dari empat perlawanan yang telah diharungi.

Kemenangan membolehkan skuad bimbingan bekas pemain kebangsaan, Effendi Malek itu kekal di tangga keempat tatkala SMK Mutiara Impian yang mengumpul 14 mata tergelincir ke tangga kedua.

Jurulatih SMK Mutiara Impian, Faqhri Sobri berkata, “Walaupun kalah, mereka memberikan tentangan terbaik kepada pasukan SSMP yang merupakan pasukan pilihan dan pasukan terbaik dalam negara. Bagi kami, menang atau kalah tolak ketepi sebaliknya kesungguhan ditunjukkan pemain ketika bertemu pasukan yang kuat adalah aspek yang menjadi penilaian.”

Sementara itu, kedudukan pendahulu diambil alih oleh SSMP ‘A’ B-13 yang turut mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas SSN Sarawak, SMK Tabuan Jaya di Kuching menerusi jaringan Zubaidi Mohd Buang pada minit keempat.

Skuad Osmera Omaro itu menerajui carta liga setelah mengumpul 15 mata hasil lima kemenangan dari tujuh perlawanan.

Aksi di Skudai, Johor pula menyaksikan Akademi Johor Darul Takzim (JDT), SMK Bukit Indah terus memberikan tekanan kepada kelompok empat teratas setelah beraksi garang mencatat kemenangan besar 6-0 ke atas SSN Terengganu, SMK Bukit Nenas.

Nasrullah Ibrahim menjaringkan hatrik pada minit ke-17, 38 dan 52 manakala Amirul Faqhi Jalil, Aminuddin Rasman dan Rifqi Remley menjaringkan satu gol masing-masing pada minit ke-59, 66 dan 70 – ia adalah kemenangan keempat buat pasukan itu sekaligus menyaksikan mereka kekal di tangga kelima dengan 12 mata.

Di Temerloh, SSN Negeri Sembilan, SMK Za’ba melonjak satu tangga ke kedudukan keenam setelah menewaskan tuan rumah, SSN Pahang, SMK Seberang Temerloh dengan keputusan 1-0 hasil jaringan tunggal Al Aqib Zulkifli pada minit ke-55.

SSN Kuala Lumpur, SMK Seri Titiwangsa turut melonjak satu tangga ke kedudukan ketujuh hasil kemenangan selesa 3-0 ke atas Akademi Felda, SMK Presint 14 (1) di Padang USIM, Nilai.

Gol buat SMK Seri Titiwangsa dijaringkan oleh Abdul Afiq Hilman Abdul Halim, Farez Sufi Ahmad Rizan dan Muhamad Nur Haziq Mohd Azrol.

Dalam aksi Liga Perdana pula, SSN Kedah, SMK Tunku Anum T.A.R semakin hampir mengenggam tiket separuh akhir setelah membelasah SSN Sabah, SMK Datuk Peter Mojuntin 5-0 di Penampang.

Gol buat SMK Tunku Anum dijaringkan oleh Danial Tarmizi (m-9), Ariff Nor Hafiz Fouzi (m-17,35),  Nafiz Rashid (m-58) dan Hijjaz Hakimi Romdan (m-68).

Kemenangan kelima itu menyaksikan mereka mengumpul 17 mata dan membuka jurang di tangga teratas kepada enam mata setelah dua pencabar terdekat, SMK Seksyen 11 (SSN Selangor) dan SMK Gunung Rapat (SSN Perak) gagal mencatat kemenangan.

SMK Seksyen 11 kekal di tangga kedua dengan 11 mata setelah mencatat keputusan seri 1-1 menentang SSMP ‘B’ B-14 manakala SMK Gunung Rapat yang turut mengumpul 11 mata pula tergelincir ke kedudukan keempat setelah seri tanpa jaringan menentang SSMP ‘B’ B-13.

SSN Kelantan, SMK Putera memanfaatkan kegagalan pasukan di atas mereka mengutip mata penuh untuk melonjak ke tangga ketiga setelah menewaskan MSS Putrajaya 2-0 menerusi jaringan Syukran Pauzi dan Akma Hakim Mohd Nazri.   

 

Keputusan (Liga Super Piala Menteri Pelajaran B-14)

SMK Mutiara Impian (SSN P.Pinang)       0

SSMP ‘A’ B-14                                        1

 

SMK Seberang Temerloh (SSN Pahang)   0

SMK Za’ba (SSN N.Sembilan)                  1

 

SMK Presint 14 (1) (Akademi Felda)        0

SMK Seri Titiwangsa (SSN K.Lumpur)      3

 

SMK Bukit Indah (Akademi JDT)             6

SMK Bukit Nenas (SSN Terengganu)       0

 

SMK Tabuan Jaya (SSN Sarawak)           0

SSMP ‘A’ B-13                                        1

 

Keputusan (Liga Super Piala Menteri Pelajaran B-14)

 

SSMP ‘B’ B-14                                        1

SMK Seksyen 11 (SSN Selangor)            1

 

SMK Datuk Peter Mojuntin (SSN Sabah)  0

SMK Tunku Anum T.A.R (SSN Kedah)      5

 

MSS Putrajaya                                       0

SMK Putera (SSN Kelantan)                    2

 

SSMP ‘B’ B-13                                        0

SMK Gunung Rapat (SSN Perak)             0

 

SMK Seri Kota (SSN Melaka)                        0

SMK Seri Terendak (Akademi ATM)          0

- Advertisement -