Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSMBJ) akan turun melayan kunjungan SMK Seri Kota (SMKSK) dalam aksi separuh akhir pertama Piala Kementerian Pendidikan Malaysia (B-14) di padang sintetik Majlis Sukan Negara pada Sabtu dengan kedua-dua pasukan memburu kemenangan penting bagi mencari bekalan selesa menghadapi aksi timbal balik.
Di atas kertas, SSMBJ dianggap sebagai pilihan malah kelebihan juga jelas milik skuad bimbingan Wan Rohaimi Wan Ismail itu yang sedang meniti prestasi terbaik setelah menang enam perlawanan terakhir mereka.
Namun itu bukan alasan yang boleh mengugat keyakinan tinggi SMKSK dari Melaka di mana jurulatih Jeraie Sitan berpendapat pasukannya mempunyai kredibiliti diperlukan untuk memberi tentangan sengit sekaligus merentap rekod cemerlang SSMBJ.
“Kita akui SSMBJ sebuah pasukan yang mantap, mereka adalah juara Liga Super dan memiliki barisan pemain yang bagus. Tapi pasukan saya juga mempunyai pemain berkualiti dan mereka telah membuktikan kualiti itu ketika menewaskan Terengganu minggu lalu.
“Kita tidak tewas dalam enam perlawanan terakhir, ini memberikan saya keyakinan. Jika pemain menunjukkan mutu, kualiti dan rentak permainan sama seperti mana perlawanan sebelum ini, kami boleh menyekat SSMBJ dan membawa pulang kemenangan dari sana.
“Adalah penting pemain bermain mengikut game plan yang telah ditetapkan. Jangan terlalu ghairah mencari gol dan elak melakukan kesilapan terutamanya di barisan pertahanan. Kita harus merebut peluang ini, saya mempunyai keyakinan terhadap skuad saya,” ujar Jeraie.
SMKSK melangkah ke separuh akhir setelah menundukkan wakil Terengganu, SMK Bukit Nenas 1-0 di Bukit Serindit pada Sabtu lalu menerusi jaringan tunggal Zaim Hakim Zakaria manakala SSMBJ pula meneruskan langkahan setelah menyingkirkan Sekolah Sukan Pahang juga dengan jaringan 1-0 di Gambang.
“Minggu lalu kami mencipta banyak peluang tetapi gagal menjaringkan lebih daripada satu gol, saya sudah fokus kepada perbaiki sentuhan penyudah dan berharap ia bertambah baik di separuh akhir nanti. Kita juga mempunyai tempoh rehat lebih panjang berbanding SSMBJ, jadi kita perlu memanfaatkannya,” tambah Jeraie.
Dalam saingan Liga Perdana yang menutup tirai tiga minggu lalu, SMKSK muncul naib juara dalam situasi penuh dramatik apabila dikecewakan pada saat akhir oleh SMK Gunung Rapat yang menjulang trofi liga menerusi beza jaringan.
Manakala SSMBJ pula sedang dalam misi memburu gelaran berganda setelah merangkul trofi Liga Super dengan menunjukkan aksi bertenaga memenangi lima perlawanan terakhir liga dan tidak menunjukkan tanda-tanda mahu memperlahankan momentum mereka.
Sementara itu, satu lagi perlawanan separuh akhir Piala KPM B-14 akan menemukan pasukan meningkat naik SMK Seksyen 11 dari Selangor dan Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSMTMI) di Stadium Mini SMK USJ 23, Shah Alam.
Aksi timbal balik untuk kedua-dua perlawanan akan berlangsung pada 15 Oktober depan.
JADUAL SEPARUH-AKHIR
8 Oct 2016
SS BUKIT JALIL (B14) lwn SMK SERI KOTA (SSN Melaka)
– 4pm, PADANG D MSN, BUKIT JALIL
SMK SEKSYEN 11 (SSN Selangor) lwn SS TUNKU MAHKOTA ISMAIL (B14)
-4pm, STADIUM MINI SMK USJ 23, SUBANG JAYA , SELANGOR