SMK SMK Taman Desa (Akademi Johor Darul Takzim) Bawah 14 Tahun melangkah ke pentas final Liga Piala Menteri Pendidikan Malaysia Bawah 14 Tahun selepas melakar kemenangan selesa 4-0 ke atas SMK Mutiara Impian dalam aksi separuh akhir yang berlangsung di Padang Majlis Bandaraya Iskandar Puteri, Johor pada Sabtu lalu.
Gol pembukaan SMK Taman Desa bermula di minit ke 22 menerusi rembatan deras Muhd Hairul Nurulasyikin dari luar kotak penalti yang juga merupakan gol tunggal pada separuh masa pertama.
Anak didik Muhd Rakhi Mat Saad cuba bangkit untuk memburu gol penyamaan namun pertahanan SMK Taman Desa bijak menyerap asakan pasukan lawan.
Malah, SMK Taman Desa yang dibimbing Rodolfo Pereda Villa meledak dua gol pantas dalam tempoh dua minit.
Bermula dengan Muhd Aqif Syameel Muhd Fairul yang melebarkan kedudukan menjadi 2-0 di minit 40 sebelum Nor Elthaqif Nadhir Norizam mencatat nama selaku penjaring ketiga diminit ke 42 hasil sepakan percuma yang terus menerjah gawang lawan.
SMK Mutiara Impian tampak tidak mampu menyerap asakan bertali arus dan peluang ini nyata tidak disia siakan Mohd Fahim Akmal Zulkarnain yang menutup pesta gol SMK Taman Desa dengan gol keempat di minit ke 64.
“Seperti yang saya katakan, setiap kali kami bermain dengan pasukan yang sama, sebagai contoh Pulau Pinang (SMK Mutiara Impian) tiga bulan lalu, walaupun pemain yang sama tetapi cara permainan adalah berbeza.
“Kami lebih megawal bola pada hari ini (Sabtu) berbanding tiga bulan lalu, kualiti pemain pemain ketika melakukan hantaran, mencari ruang da melakukan hantaran lintang untuk memenangi perlawanan ini,”kata Ketua Jurulatih SMK Taman Desa, Rodolfo Pereda Villa.
Mengulas tentang pertemuan dengan Akademi Mokhtar Dahari (AMD) B14 di pentas final pada Sabtu ini (7 Disember) di Pasir Gudang, fokus utama Rodolfo adalah memberi fokus kepada persiapan pasukan.
Beliau turut menambah, “kami memiliki perancangan yang berbeza dan metodologi tersendiri dan akan menggunakannya serta mengkaji aspek aspek lain.”
Dalam satu lagi aksi separuh akhir yang berlangsung pada Isnin, Akademi Mokhtar Dahari (AMD) B14 melakar kemenangan 2-0 ke atas satu lagi wakil Johor, Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI).
Gol pertama AMD B14 hadir menerusi jaringan Ahmad Yusuf Nasrullah Ahmad Ramli di minit ke 7 sebelum Muhd Syaifullah Mahruzi meledak gol kedua di minit ke 39.
Pertembungan akhir Sabtu ini diantara SMK Taman Desa dan AMD B14 ibarat ulangan aksi final 2023 yang menyaksikan AMD B14 melakar kemenangan 3-2.