Dua kali gagal menjulang trofi Piala Sumbangsih Liga Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM), SMK Tunku Anum mahu memastikan badi kekalahan sejak 2016 berakhir pada petang Ahad.
Mohd Azlan Abu yang diberi peranan untuk menggalas tugas dalam misi memburu trofi sulung bagi tahun ini tidak mahu terlalu yakin kerana lawan mereka SMK Mutiara Impian tidak boleh dipandang ringan.
“Kali terakhir kita masuk (Piala Sumbangsih) adalah pada 2016 dan tewas di tempat sendiri kali ini kita berjaya masuk bertemu dengan SMK Mutiara Impian justeru sasaran awal kita adalah untuk mendapatkan kembali Piala Sumbangsih.
“Sudah tentu kemenangan yang diraih andai berjaya menewaskan lawan esok (petang Sabtu) akan memberi suntikan semangat kepada pemain untuk memulakan musim 2018,”kata Mohd Azlan Abu.
Tambahnya lagi, persiapan telahpun giat dilakukan sejak awal tahun dengan membariskan enam muka baru bagi mengharungi kalendar 2018.
Tambah jurulatih kelahiran Jitra itu, kombinasi diantara pemain baru dan lama tidak menampakkan jurang ketara.
Malah, moral pemain dilihat ditahap terbaik susulan tiada kecederaan yang membelenggu para pemain selepas sesi latihan pada petang Jumaat.
“Pemain yang baru merupakan pemain yang beraksi ketika saingan bolasepak peringkat MSSM dimana mereka memenangi pingat emas,”katanya lagi.
Kali pertama SMK Tunku Anum menjulang trofi Piala Sumbangsih pada 2010 disusuli kemenangan kedua pada 2013.
Hasrat untuk menjulang trofi kali ketiga SMK Tunku Anum pada 2016 disekat SMK Seri Titiwangsa yang melakar kemenangan 1-0.