20160514 - Liga KPM B14 SMK Zaba(biru) vs SMK Tabuan Jaya-004
SMK Zaba(biru) vs SMK Tabuan Jaya (hijau)

20160514 - Liga KPM B14 SMK Zaba(biru) vs SMK Tabuan Jaya-003

Juara bertahan Piala Menteri Pendidikan Malaysia (Bawah 14), SMK Za’ba kembali dalam pemburuan kedudukan empat pasukan teratas Liga Super, setelah membenam cabaran wakil Sarawak, SMK Tabuan Jaya 2-1.

Ia sekaligus mengurangkan defisit di tangga teratas kepada hanya tiga mata.

Turun beraksi di gelanggang sendiri di Kuala Pilah, SMK Za’ba dilihat tidak bermasalah untuk menguasai perlawanan sejak dari sepak mula, dan beroleh dua gol awal menerusi jaringan Nor Fazly Suleiman pada minit kedua dan 14.

Begitupun, di sebalik dominasi penuh, SMK Za’ba gagal menambah jaringan sebaliknya membenarkan SMK Tabuan Jaya untuk kembali dalam permainan menerusi gol jaringan Hudson Anak Langkau di separuh masa kedua.  

Wakil Negeri Sembilan itu bagaimanapun utuh mempertahankan kelebihan untuk mencatat kemenangan ketiga dan jurulatih Mohamad Azuha memuji aksi pemainnya yang disifatkan yang terbaik berbanding lapan perlawanan terdahulu sambil menegaskan sasaran utama pasukannya adalah untuk mengukuhkan cengkaman di kedudukan empat teratas.

“Selepas mengharungi lapan perlawanan, saya boleh katakan hari ini adalah aksi terbaik dari pemain saya tapi saya tetap merasakan kita boleh beraksi dengan lagi baik. Kita membazir peluang yang banyak tapi dengan kemenangan ini kedudukan kita lebih selesa di petengahan dan buat masa ini kita mahu melepasi saingan peringkat kumpulan terlebih dahulu sebelum fikirkan sasaran seterusnya,” kata Azuha.

Mengenai kelekaan saat akhir yang hampir membawa padah, Azuha berkata, “Saya agak risau juga sebenarnya, kerana saya takut kesilapan sama berulang. Pemain dilihat cepat berpuas hati. Dalam perlawanan-perlawanan sebelum ini pun, kita menguasai perlawanan tetapi kita dihampakan dengan keputusan seri, atau kalah.

“Contohnya ketika lawan SMK Bukit Nenas, kita sudah mendahului sehingga minit akhir tapi seri, begitu juga ketika lawan SMK Putera, jadi saya rasa hari ini momentum kita lebih baik dan saya harap kemenangan ini cetus keyakinan di kalangan pemain untuk teruskan rentak kemenangan,” katanya. 

Berbeza dengan SMK Za’ba, kekalahan buat SMK Tabuan Jaya menyaksikan pasukan itu kemarau kemenangan dalam empat perlawanan terakhir dan jatuh ke tangga ketujuh.

Sementara itu, saingan di kelompok teratas liga menyaksikan SMK Tunku Mahkota Ismail melonjak ke tangga kedua setelah menewaskan SMK Putera dari Kelantan 2-1.

Pada aksi di Kota Bharu, jaringan Ahmad Umar Haziq Abdul Wahab dan Sharil Sharin Jasrin masing-masing pada minit ke-9 dan 30 membolehkan pasukan dari Johor itu mengumpul 14 mata dan terus menghimpit kedudukan pendahulu SSM Bukit Jalil dengan beza hanya satu mata.

SSM Bukit Jalil yang bertandang ke Temerloh, gagal melebarkan pendahuluan setelah sekali lagi diikat seri tanpa jaringan oleh tuan rumah, SMK Seberang Temerloh.

Ini adalah keputusan seri tanpa jaringan kedua berturut-turut dicatat barisan pemain Wan Rohaimi Wan Ismail, sekaligus menyaksikan persaingan semakin sengit di kelompok lima pasukan teratas yang hanya dipisahkan dengan tiga mata.  

Dalam pada itu, SMK Syed Hassan dari Perlis keluar dari kedudukan tercorot setelah merakamkan kemenangan pertama musim ini dengan menewaskan wakil Selangor SMK Seksyen 11 .

Jaringan tunggal SMK Syed Hassan dihadiahkan Faiz Amer Runizar yang tertampan bola ke gawang sendiri pada minit keenam, sekaligus membolehkan pasukan itu melonjak tiga anak tangga berada di kedudukan keenam liga, dengan mengutip tujuh mata manakala SMK Seksyen 11 tergelincir ke tangga kelapan.

20160514 - Liga KPM B14 SMK Zaba(biru) vs SMK Tabuan Jaya-001
SMK Zaba(biru) vs SMK Tabuan Jaya (hijau)

 Bagi aksi Liga Perdana Piala Menteri Pendidikan pula, SMK Gunung Rapat terus unggul selaku pendahulu selepas mengutip tiga lagi mata dengan menewaskan SSM Pahang 3-2 di gelanggang sendiri.

Gol buat pasukan dari Perak itu dijaringkan Ikfan Rozi, Arfan Zainal Azhar dan Zikri Hafiz manakala SSM Pahang membalas menerusi Najmudin Akmal Kamal dan Sapiee Ashri.

SMK Gunung Rapat yang mengumpul 14 mata, mendahului liga dengan beza jaringan ke atas SMK Tun Hussein Onn yang turut melakar kemenangan penting 1-0 ke atas MSS Putrajaya menerusi jaringan tunggal Fakhrul Hafizi Asmad seawal minit ke lapan.

Dalam perlawanan yang berlangsung di utara, wakil Pulau Pinang SMK Mutiara Impian melonjak tiga anak tangga ke kedudukan kelima setelah garang membelasah pasukan dari Sabah SMK Datuk Peter Monjuntin 4-0.

Aiman Farhan Muhamad Fauzi menjaringkan dua gol di separuh masa pertama dan Athari Akmar Farhan menambah dua jaringan di babak kedua untuk SMK Mutiara Impian mencatat kemenangan kedua dari lapan perlawanan.

Manakala SMK Tunku Anum pula keluar dari kedudukan tercorot setelah mencatat kemenangan 3-1 ke atas SMK Seri Titiwangsa hasil dua gol Syafiq Aiman Azham dan satu jaringan Danial Rashidi.

Kemenangan kedua buat wakil Kedah itu menyaksikan mereka ketika ini menghuni tangga kelapan dengan lapan mata, manakala Seri Titiwangsa di kedudukan ketujuh dengan sembilan mata.

KPM.100+

 

 

 

 

 

 

KEPUTUSAN

LIGA SUPER PIALA MENTERI PENDIDIKAN (B14)

 

SMK Seberang Temerloh (Pahang)          0      

SSM Bukit Jalil                                       0

 

SMK Seksyen 11 (Selangor)                   0      

SMK Syed Hassan (Perlis)                       1

 

SMK Za’ba (N.Sembilan)                         2

SMK Tabuan Jaya (Sarawak)                  1

 

SMK Putera (Kelantan)                           1

SMK Tunku Mahkota Ismail (Johor)         2

 

PASUKAN P M S K J B BG Mt
SSM BUKIT JALIL  (B14) 8 4 3 1 10 3 7 15
SSM TUNKU MAHKOTA ISMAIL (B14) 8 4 2 2 12 4 8 14
SMK BUKIT NENAS 7 3 4 0 10 6 4 13
SMK SEBERANG TEMERLOH 8 4 1 3 9 6 3 13
SMK ZA’BA 8 3 3 2 9 7 2 12
SMK SYED HASSAN 7 1 4 2 4 9 -5 7
SMK TABUAN JAYA 7 1 3 3 3 6 -3 6
SMK SEKSYEN 11 8 1 3 4 3 12 -9 6
SMK PUTERA 9 0 5 4 6 13 -7 5

 

LIGA PERDANA PIALA MENTERI PENDIDIKAN (B14)

 

SMK Seri Titiwangsa (K.Lumpur)             1

SMK Tunku Anum T.A.R (Kedah)             3

 

SMK Gunung Rapat (Perak)                    3

SSM Pahang                                          2

 

SMK Tun Hussein Onn (Johor)                 1

MSS Putrajaya                                       0

 

SMK Mutiara Impian (P.Pinang)               4

SMK Datuk Peter Monjuntin (Sabah)       0

 

PASUKAN P M S K J B BG Mt
SMK GUNUNG RAPAT 7 4 2 1 13 6 7 14
SMK TUN HUSSEIN ONN 8 4 2 2 13 10 3 14
SMK SERI KOTA 7 2 5 0 4 2 2 11
SSM PAHANG (B13) 8 3 1 4 11 13 -2 10
SMK MUTIARA IMPIAN 8 2 3 3 11 11 0 9
MSS PUTRAJAYA (B14) 8 2 3 3 9 10 -1 9
SMK SERI TITIWANGSA 8 2 3 3 8 12 -4 9
SMK TUNKU ANUM T.A.R 7 2 2 3 9 9 0 8
SMK DATUK PETER MONJUNTIN 7 2 1 4 6 11 -5 7
- Advertisement -