Peluang Malaysia untuk mencapai sasaran berada dalam kelompok empat terbaik pada saingan Piala Sultan Johor tahun ini semakin sukar apabila mengalami kekalahan kedua berturut-turut.

Selepas tewas 1-2 di tangan India dalam aksi pembukaan semalam, skuad bimbingan Nur Saiful Zaini terpaksa akur dengan kehebatan juara bertahan, Australia apabila tewas 1-6 di Stadium Hoki Taman Daya, hari ini.

Kekalahan itu menyaksikan Malaysia tidak mempunyai pilihan selain melakar kemenangan ke atas New Zealand pada aksi ketiga, Selasa ini.

Mereka juga perlu melepasi halangan Jepun dan finalis tahun lalu, Great Britain yang akan menjadi lawan untuk aksi keempat dan kelima bagi menghidupkan peluang sekurang-kurangnya bermain pada penentuan tempat ketiga dan keempat.

“Saya fikir pemain bermain dengan baik. Ini adalah hoki dalam era baharu yang mana aspek fizikal memainkan peranan dan ini menjadi kelemahan kami.

“Tiga kad kuning yang kami terima dalam perlawanan ini juga menjejaskan rentak kami yang mana ia memberi dua gol menerusi pukulan sudut penalti kepada Australia. Apa pun, ini satu proses pembelajaran buat pemain kita yang dibarisi sembilan pemain berusia 17 tahun,” kata Nur Saiful.

Bagi Australia, ia kemenangan yang cukup penting selepas kekalahan mengejut di tangan Jepun 1-2 dalam aksi sulung, semalam dalam usaha mereka mempertahankan gelaran juara yang dimenangi pada edis tahun lalu.

Australia turut muncul juara pada edisi 2016.

Jurulatih Australia, Chris O’Reilly berkata pemainnya beraksi dengan baik dan mengikut segala percaturan yang dirancang.

“Ia kemenangan yang baik untuk kami. Pemain bermain dengan baik dan mereka memanfaatkan peluang yang dimiliki bagi menjaringkan gol terutamanya ketika kami mendapat pukulan sudut penalti,” katanya.

Dalam perlawanan itu, Australia menjaringkan dua gol padang menerusi Hayden Beltz minit kelapan dan Alec Rasmussen minit ke-26.

Empat lagi gol disumbangkan Damon Steffens (dua gol), Jake Staines dan Coby Green yang terhasil menerusi pukulan sudut penalti minit ke-44, 45, 53 dan 54.

Gol sagu hati Malaysia dijaringkan Muhammad Hasrin menerusi pukulan sudut penalti minit ke-37.

 

- Advertisement -