Â
India membuktikan betapa mereka serius bagi memburu gelaran ketiga Piala Sultan Johor apabila membelasah New Zealand 7-1 dalam aksi kedua di Stadium Hoki Taman Daya, hari ini.
Selepas gagal merealisasikan misi itu tahun lalu dengan hanya menamatkan saingan di tempat ketiga, skuad bimbingan Jude Felix kali ini tampl dengan aksi meyakinkan.
Sebagai rekod, India mara ke final sebanyak empat kali bermula edisi 2012 hingga 2015 dan berjaya muncul juara pada 2013 dan 2014.
Kemenangan ke atas New Zealand seharusnya memberi tonik terbaik buat India menjelang pertembungan dengan Jepun, Selasa ini yang disifatkan buku bertemu ruas.
Seperti India yang menang kedua-dua perlawanan pertama, Jepun juga mempamerkan prestasi luar biasa dengan menewaskan finalis tahun lalu, Australia dan Great Britain dalam dua aksi awal.
“Ini adalah permainan yang saya mahu pemain tunjukkan. Ini yang kami berlatih dalam persiapan menghadapi kejohanan ini dan saya gembira pemain dapat bermain dengan baik seperti hari ini.
“Kami akan bertemu Jepun selepas ini, melihat kepada prestasi mereka ketika ini yang menewaskan Australia dan Great Britain ia pasti akan menjadi perlawanan yang sukar untuk kami. Namun, saya fikir apa yang lebih penting adalah bagaimana kami bermain berbanding siapa yang akan kami lawan,” kata jurulatih India, Jude Felix.
Sementara itu, jurulatih New Zealand, Bryce Collins berkata anak buahnya tewas kepada pasukan yang jauh lebih berpengalaman dan ia akan menjadi pengajaran berguna buat mereka.
“India sebuah pasukan yang kuat, berpengalaman dan berkemahiran tinggi. Jadi, kami perlu terus belajar dan memperbaiki semua kelemahan yang ada,” katanya.
India memulakan pesta gol mereka menerusi jaringan pemain muda berusia 16 tahun, Prabhjot Singh yang meledak gol pertama minit keenam sebelum Shilanand Lakra menyumbat gol kedua sembilan minit kemudian.
Kedua-dua gol terhasil menerusi gol padang.
Penyerang prolifik India, Hermanjit Singh menambah derita skuad Kiwis dengan meledak gol ketiga menerusi gol padang minit ke-21 Mohd Faraz menyempurnakan pukulan sudut penalti bagi jaringan keempat minit ke-23.
Gol kelima India dijaringkan Shilanand menerusi gol padang minit ke-43 manakala Abhishek menyumbang gol keenam minit ke-50 dan kapten, Mandeep Mor minit ke-60 hasil pukulan sudut penalti.
New Zealand meraih gol saguhati hasil jaringan Sam Hiha minit ke-53.