Empat negara yang pernah bergelar juara, sekali lagi menguji kekuatan pada Kejohanan Hoki Jemputan Antarabangsa (bawah 21 tahun) Piala Sultan Johor (SOJC 2019) tahun ini.
Ironinya, keenam-enam pasukan yang bersaing pada pada edisi kali ini, terdiri daripada pasukan yang sama beraksi pada edisi 2018.
Selain pasukan tuan rumah Malaysia yang pernah muncul juara pada 2011, tiga lagi pasukan yang pernah menaiki podium selaku juara dua kali bakal menjadi tumpuan.
India, juara edisi 2013 dan 2014, pastinya mahukan kejuaraan yang kali terakhir dimenangi kira-kira lima tahun lalu, terutama selepas hanya muncul naib juara edisi lalu.
Juara bertahan, Great Britain yang juga pemenang ketika edisi 2015, pastinya tidak mahu pulang dengan tangan kosong sekaligus menyukarkan cabaran pasukan lain yang memasang impian untuk melakar nama pada edisi kali ini.
Menambah lagi kehangatan saingan, kehadiran juara dua kali Australia (2016 dan 2017) selain Jepun dan New Zealand yang masih mencari peluang merebut kejuaraan di kejohanan ini.
Saingan dimulakan dengan pusingan round robin akan bermula dari 12 hingga 18 Oktober, manakala perlawanan klasifikasi kedudukan bakal berlangsung 19 Oktober.
Setiausaha Jawatankuasa Penganjur, Datuk Majid Manjit Abdullah menerusi kenyataan media menjelaskan bagi edisi kali ini, SOJC membuka tirai pada 12 Oktober menerusi perlawanan pembukaan diantara Australia menentang Jepun, diikuti Great Britain menentang New Zealand dan India menentang Malaysia.
Perlawanan kedua pada 13 Oktober pula membabitkan Jepun menentang Great Britain, India menentang New Zealand dan Australia menentang Malaysia.
Saingan berehat sehari pada 14 Oktober sebelum perlawanan ketiga liga round robin bersambung pada 15 Oktober membabitkan Great Britain menentang Australia, Jepun menentang India dan New Zealand menentang Malaysia.
Perlawanan keempat pada 16 Oktober pula memebabitkan India menentang Australia, Malaysia menentang Great Britain dan New Zealand menentang Jepun.
Perlawanan kelima hanya akan dilangsungkan pada 18 Oktober membabitkan Great Britain menentang India, Malaysia menentang Jepun dan Australia menentang New Zealand.
Pada edisi 2018, Great Britain muncul juara dengan menewaskan India 3-2 pada aksi final manakala Australia menamatkan saingan di tempat ketiga dengan menundukkan Jepun 6-1, dan Malaysia di tempat kelima selepas mengatasi New Zealand 6-3.