photo – www.sultanjohorcup.com.my

 

 

Juara dua kali, Australia dipaksa bekerja keras sebelum melakar kemenangan 2-1 ke atas Jepun dalam aksi pertama saingan hoki Piala Sultan Johor (SOJC) di Stadium Taman Daya, hari ini.

Ehren Hazell muncul wira apabila meledak dua gol padang buat Australia pada minit ketiga dan 33 bagi memastikan kemenangan pertama pasukan itu dalam saingan yang memasuki edisi kesembilan tahun ini.

Jepun yang cuba bangkit dan memberi tentangan sengit kepada Australia meraih satu gol padang hasil jaringan Takuma Niwa pada minit ke-15.

Jurulatih Australia, Ben Bishop, berkata dia sememangnya sudah menjangkakan tentangan sengit daripada Jepun dan gembira anak buahnya kekal fokus sepanjang perlawanan.

“Tahun lalu kami turut berdepan kesukaran dalam perlawanan pertama menentang Jepun (Australia menang 2-1).

“Jadi, kali ini kami turut menjangkakan situasi yang sama dan terbukti Jepun menunjukkan peningkatan yang baik dan pemain kami perlu bekerja keras bagi menjaringkan gol,” kata Bishop selepas tamat perlawanan.

Jurulatih itu berkata ada beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki barisan pemainnya terutama ketika pukulan sudut penalti menjelang pertemuan dengan Malaysia untuk aksi kedua, esok.

“Hari ini kami mendapat beberapa pukulan sudut penalti tetapi gagal disempurnakan. Kami perlu perbaikinya kerana saya menjangkakan satu lagi perlawanan sukar apabila bertemu Malaysia esok.

“Pemain Malaysia mempunyai kemahiran yang baik dan pantas. Jadi, kami perlu bersedia,” katanya.

Sebagai rekod, Australia dua kali muncul juara SOJC iaitu pada edisi 2016 dan 2017 selain sekali naib juara pada 2011 manakala menamatkan saingan di tempat ketiga sebanyak tiga kali 2012, 2014 dan 2018.
bertahan, Great Britain.

- Advertisement -