photo – www.sultanjohorcup.com.my

 

 

Malaysia seharusnya menyalahkan diri sendiri apabila membenarkan India bangkit untuk melakar kemenangan 4-2 dalam aksi pertama saingan hoki Piala Sultan Johor (SOJC) 2019 di Stadium Hoki Taman Daya, hari ini.

Skuad remaja negara gagal mengekalkan kelebihan dimiliki selepas mendahului 2-0 apabila India bangkit menjaringkan empat gol bagi memastikan kemenangan pertama pasukan itu dalam kempen kali ini.

“Kita kejutkan India pada suku pertama perlawanan tetapi mereka bangkit bermula dengan separuh masa kedua. Pada suku ketiga dan keempat pemain sudah mula nampak keletihan.

“Banyak kesilapan yang dilakukan pemain termasuklah bahagian pertahanan yang mana mereka gagal mengeluarkan bola apabila ditekan India,” kata jurulatih Malaysia, Nur Saiful Zaini Nasiruddin selepas tamat perlawanan.

Nur Saiful turut meramalkan pertemuan kedua dengan Australia esok bakal memberi satu lagi kesukaran buat barisan pemainnya.

“Australia pasukan yang lebih kuat, mereka ada miliki fizikal yang besar dan struktur permainan yang jauh lebih baik. Apa yang saya harapkan pemain saya dapat menyamai tahap permainan dengan Australia terlebih dahulu sebelum kita boleh fikir mengenai kemenangan,” katanya.

Malaysia bermula garang apabila menjaringkan dua gol pada suku pertama hasil gol padang Muhammad Syafiq Hassan minit kelapan dan Muhammad Hafizi Zainuddin yang menyempurnakan pukulan sudut penalti seminit kemudian.

Ketinggalan dua gol, India bagaimanapun kekal tenang dan membuktikan reputasi mereka dengan meledak tiga gol menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan Rahul Rajbhar minit ke-19, Pratap Lakra (33) dan Shilanand Lakra (39).

Satu lagi gol hadir menerusi gol padang yang disudahkan Uttam Singh minit ke-60.

“Pemain gagal mengikut perancangan yang ditetapkan pada awal permainan dan mengakibatkan kami dibolosi dua gol. Namun, bermula suku kedua pemain kembali bangkit.

“Kapten kami (Mandeep Mor) memainkan peranan penting ketika dalam padang apabila menyuntik semangat pemain lain dan itu antara salah faktor penting kebangkitan kami,” kata jurulatih India, B J Kariappa.

- Advertisement -