India berada di kelas tersendiri apabila berpesta gol dengan menewaskan New Zealand 8-2 dalam aksi kedua saingan hoki Piala Sultan Johor (SOJC) 2019 di Stadium Hoki Taman Daya, hari ini.
Kemenangan itu boleh dianggap sebagai amaran awal daripada India yang turun dengan misi memburu gelaran ketiga selepas muncul juara pada edisi 2013 dan 2014.
New Zealand jelas gagal untuk menyaingi India yang mempamerkan corak permainan agresif dan mendominasi keseluruhan perlawanan.
Jurulatih New Zealand, Bryce Collins mengakui anak buahnya gagal menyaingi tahap permainan pemain India dan banyak melakukan kesilapan.
âKami tidak bermula dengan baik. Seperti yang kami jangka India adalah pasukan kuat dan memang sukar untuk menyaingi mereka.
âApa pun saya harap pemain dapat belajar sesuatu daripada perlawanan ini kerana kami ada tiga lagi perlawanan yang perlu diharungi,â katanya selepas tamat perlawanan.
Pesta gol India bermula menerusi jaringan penyerang sensasi, Dilpreet Singh minit kesembilan diikuti Shilanand Lakra (14), Sanjay (17 dan 22), Mandeep Mor (20), Suman Beck (45), Pratap Lakra (50) dan Sudeep Chirmako (51).
Dua gol New Zealand dijaringkan Thomas Dylan minit ke-28 dan 44.
Ini adalah kemenangan kedua berturut-turut buat India selepas menewaskan Malaysia 4-2 dalam aksi sulung semalam manakala New Zealand mengalami kekalahan kedua selepas tunduk di tangan Great Britain 0-2.
India akan meneruskan misi mereka menentang Jepun untuk aksi ketiga Selasa ini manakala New Zealand bertemu Malaysia.