#Atasi New Zealand, Great Britain optimis pertahan kejuaraan
Juara bertahan Great Britain langkah kanan apabila berjaya menundukkan New Zealand 2-0 pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Hoki Taman Daya, di sini, hari ini.
Perlawanan itu bagaimanapun berlangsung sengit apabila kedua-dua pasukan kental ketika bertahan dan kedudukan 2-0 kekal pada dua suku pertama perlawanan.
Berbanding pertemuan pada perlawanan pertama tahun lalu, yang menyaksikan Great Britain mendahului New Zealand seawal minit keempat, pertemuan kali ini agak berbeza.
Gol yang dicari hanya diperoleh pada suku ketiga permainan apabila Thomas Russell memecah kebuntuan pada minit ke-36 menerusi jaringan padang meletakkan Great Britain di depan.
Selepas itu, juara tahun lalu itu melancarkan serangan bertali arus namun agak sukar menembusi gawang New Zealand, ketika Blackstick seakan kekeringan idea mengatur serangan.
New Zealand berpeluang mencipta jaringan apabila memperoleh dua pukulan sudut penalti berturut-turut pada empat minit terakhir perlawanan, namun disia-siakan begitu sahaja.
Peluang itu diambil Great Britain apabila berjaya menggandakan kedudukan menerusi jaringan padang James Oates
James membawa bola dari tepi padang menggelecek empat pemain New Zealand sebelum melakukan jaringan di antara dua kaki penjaga gol Taylor Craige untuk kedudukan berubah menjadi 2-0 pada minit terakhir perlawanan.
Pada perlawanan itu, Thomas dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan.
Ketua Jurulatih Great Britain, Jon Bleby berkata, pasukannya bermain dengan baik pda perlawanan pertama hari ini berbanding tahun lalu, namun pemain beberapa pemain muda masih gementar terutamanya mereka yang kali pertama beraksi di saingan Piala Sultan Johor (SOJC).
“Begitupun berdepan Jepun esok kami perlu lebih bersedia selepas mereka hanya tewas tipis kepada Australia. Jepun sebuah pasukan yang pantas dan bagus ketika bertahan namun kami juga amat kenal dengan pasukan ini,” katanya.
Bagi jurulatih New Zealand, Bryce Collins, dia amat kecewa dengan aksi pemainnya hari ini, namun tetap mengharapkan keputusan positif menentang India esok.
“Kami menang ke atas India pada perlawanan persahabatan beberapa hari lalu, saya harap keputusan itu mampu diulang sekali gus menyuntik semula moral pasukan,” kata Bryce.