Sejak muncul juara edisi pertama Kejohanan Hoki Jemputan Remaja Piala Sultan Johor, kemarau seakan melanda pasukan negara.
Tujuh kali cuba mengulangi kejayaan yang dicapai pada 2011 tidak berhasil namun berbekalkan keazaman tinggi pemain yang dibimbing Nor Saiful Zaini yakin mampu mencabar gelaran kali ini.
Penyerang sensasi remaja Mohamad Akimullah Anuar Esook, 19, berkata, hampir separuh daripada pasukan itu pernah beraksi bersama sekali gus dia optimis peluang besar dimiliki skuad kali ini.
Pemain yang muncul penjaring terbanyak pada kejohanan Olimpik Remaja tahun lalu dengan 22 gol itu berkata, pengalaman beraksi dalam skuad senior yang ada padanya juga akan dipertaruhkan bagi memburu kemasyhuran.
 “Berbekalkan pengalaman yang ada, saya yakin mampu membantu kawan-kawan untuk membentuk sebuah pasukan yang mantap. Malah dalam pasukan kali ini, kita memiliki pemain berkaliber di setiap posisi dan ada pemimpin di bahagian pertahanan, tengah serta menyerang,” katanya.
Katanya, pengalaman beraksi bersama dalam banyak perlawanan turut menjadi faktor kekuatan sesebuah pasukan untuk mempamerkan prestasi terbaik.
Mohamad Akimullah yang akan tampil buat kali ketiga pada kejohanan ini berkata, semua pemain yang tersenarai mesti yakin pada kemampuan pasukan.
 “Selain itu,m peluang beraksi dalam kejohanan ini mesti dipandang serius setiap pemain kerana di sinilah kita dapat meningkatkan kemahiran serta menyelami falsafah permainan pasukan eropah.
 “Tahun depan, kita akan menghadapi fasa penting iaitu perlawanan kelayakan Piala Dunia Remaja 2021 dan untuk memastikan kami bersedia, prestasi di kejohanan ini menjadi penanda arasnnya,” kata Mohamad Akimullah, lagi.
 Pada edisi kali ini, skuad negara akan membuka tirai kejohanan menentang naib juara tahun lalu, India pada Sabtu, diikuti perlawanan menentang Australia sehari selepas itu.
Perlawanan ketiga pula pada 16 Oktober apabila skuad negara dijadual menentang juara bertahan Great Britain sebelum menentang Jepun pada perlawanan terakhir pusingan round robin.
Pencapaian terbaik skuad negara adalah muncul juara pada 2011, naib juara pada 2013, menduduki tempat ketiga pada 2015 dan keempat pada 2017.