JOHOR BAHRU, 29 Okt — Pemain Australia Ehren Hazell diasak pemain Great Britain, Josh Pavis pada penentuan tempat pertama dan kedua Kejohanan Hoki Antarabangsa Bawah 21 tahun Piala Sultan Johor 2017 di Stadium Hoki Taman Daya Johor Bahru hari ini.
–fotoBERNAMA (2017) HAK CIPTA TERPELIHARA

 

 

Juara bertahan, Australia memusnahkan impian Great Britain apabila melakar kemenangan 2-0 dalam aksi final edisi ketujuh Piala Sultan Johor (SOJC) di Stadium Hoki Taman Daya Johor Bahru, malam ini.

Kemenangan itu menyaksikan Australia berjaya menebus kekecewaan tewas 2-4 ke atas Britain dalam aksi pusingan awal, Rabu lalu.

Joel Rintala meletakkan Australia di depan menerusi jaringannya hasil gerakan daripada pukulan sudut penalti minit keempat dan Nathan Ephraums mengukuhkan kedudukan apabila meledak gol kedua minit ke-35.

Ia adalah gol kesembilan Ephraums dalam kejohanan kali ini dan berkongsi jumlah jaringan itu dengan pemain India, Dilpreet Singh.

Kekalahan di tangan Britain sebelum ini memberi tamparan buat Australia dalam usaha mereka untuk menyamai rekod India yang muncul juara sebanyak dua kali.

Kini, India dan Australia masing-masing sudah merangkul dua gelaran SOJC sejak kejohanan mula diperkenalkan pada 2011.

India muncul juara pada 2013 dan 2014 manakala Australia meraih gelaran pertama pada 2016.

Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Sultan Ibrahim berkenan berangkat menyaksikan aksi final SOJC 2017 bersama kira-kira 3,000 penonton yang hadir di stadium.

Pemain tengah Australia, Nathanael Stewart dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan akhir.

Sementara itu, Ephraums dan Dilpreet menerima anugerah penjaring terbanyak kejohanan selepas masing-masing merekodkan sembilan gol manakala penjaga gol terbaik diberikan kepada Chris Wyver dari Britain dan kapten India, Vivek Prasad dinobatkan pemain terbaik kejohanan SOJC 2017.

Amerika Syarikat dipilih sebagai pasukan fairplay.

Tiga pemain Malaysia antara yang dipilih berada dalam kesebelasan utama terbaik. Mereka ialah Mohammad Firdaus Omar, Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi dan Mohammad Akhimullah Anuar Esook.

Turur dipilih ialah Nathanael Stewart, Ephraums (Aus), Duncan Scott, Jack Waller dan Wyner (GB), Ikeda Mizuki (Jepun) serta Dilpreet dan Vivek (India).

- Advertisement -