Meskipun berjaya melakar beberapa kejayaan dipentas antarabangsa, pastinya tidak ramai yang tahu akan kewujudan wakil negara yang beraksi dalam acara bolasepak di Sukan Olimpik Istimewa (Special Olympic Games).
Dibawah kendalian dua jurulatih dan Gopi Silvaraj selaku pengurus pasukan skuad bolasepak 5 sebelah yang terdiri daripada tiga atlet kurang upaya dan dua atlet normal, Malaysia meraih pingat perak di Sukan Olimpik Istimewa 2015 yang berlangsung di Los Angeles.
Malah, atlet yang berusia diantara 16-20 tahun ini turut berjaya melakar kejayaan di Sukan Olimpik Khas 2015 di Semerang dimana Malaysia meraih pingat emas selepas menundukkan Kepulauan Jawa.
“Sukan Olimpik Istimewa 2019 akan berlangsung di Abu Dhabi. Latihan dan persiapan telah dijalankan, namun kami sedikit kecewa kerana tidak mendapat pengiktirafan,”kata Naib Presiden Olimpik Khas Kedah, Dr N Selvaraj.
Persiapan giat dijalankan sebelum wakil Malaysia ini turun ke Bangkok, Thailand untuk menyertai Kejohanan Bolasepak 5 Sebelah Unified Asia Tenggara kali keenam yang akan berlangsung dari 13 hingga 17 November.
Olimpik Khas merupakan badan NGO yang memberi peluang kepada mana mana individu yang mempunyai masalah pembelajaran (intectual Disability) untuk menjadi seorang atlet yang akan dibimbing dan dipersiapkan untuk mewakili negara di kejohanan kejohanan bukan sahaja peringkat kebangsaan, malah ke peringkat antarabangsa.
Atlet yang bernaung dibawah organisasi ini akan diberi pendedahan dan sesi pemilihan akan diadakan untuk memilih calon yang layak untuk mewakili negara ke kejohanan antarabangsa.