Aksi positif melibatkan kem badminton negara di Nanjing, China yang mengharungi Kejohanan Badminton Dunia 2018 diteruskan pada hari kedua.
Bergu muda negara, Aaron Chia/Soh Wooi Yik melangkah ke pusingan kedua selepas menundukkan gandingan Korea Selatan, Chung Eui Seok/Kim Dukyoung.
Aaron dan Soh memerlukan 33 minit untuk melakar kemenangan straight set 21-15, 21-18 dan dijadual bertemu pilihan ke 12 dari Taiwan, Lee Jhe Huei/Lee Yang esok.
Satu lagi kejutan dilakar Ong Yew Sin/Teo Ee Yii yang mengesahkan kemaraan ke pusingan ketiga selepas menang ke atas wakil India Arjun M.R/S Ramachandran 21-14,21-15.
Mereka akan berdepan gandingan bergu lelaki nombor satu negara, Goh V Shem/Tan Wee Kiong esok.
Perseorangan lelaki memperlihatkan prestasi positif dipamer pemain profesional negara, Liew Darren yang melakar kemenangan ke atas pilihan ke 13 dari Indonesia Christie Jonathan straight set 21-12, 21-16.
Liew Darren dijangka tidak berdepan masalah untuk menundukkan lawannya dipusingan ketiga dari Israel, Misha Zilberman.
Dua bergu campuran negara turut mengesahkan slot ke pusingan ketiga selepas mengatasi lawan masing masing hari ini.
Goh Soon Huat/Shevon Lai Jamie yang diletak selaku pilihan ketujuh, paling awal mara ke pusingan seterusnya selepas menundukkan pasangan Belanda, Jacco Arends/Selena Piek straight set 21-13, 21-17.
Namun kecemerlangan Soon Huat/Shevon gagal diekori satu lagi pasangan bergu campuran negara, Tan Kian Meng/Lai Pei Jing apabila kecundang ditangan pilihan ke 10 dari Thailand, Dechapol Puavaranukroh/Sapsiree Taerattanachai 21-12, 21-15.
Kekecewaan Kian Meng dan Pei Jing bagaimanapun ditebus Chan Peng Soon/Goh Liu Ying yang menundukkan pasangan dari India, Saurabh Sharma Anoushka Parikh 21-18, 21-11.
Peng Soon dan Liu Ying yang diletak selaku pilihan kelapan akan berdepan pilihan ke 11 dari England, Marcus Ellis/Lauren Smith.
Sementara itu, perjuangan Sonia Cheah berakhir hari ini apabila ditunjukkan jalan keluar oleh pilihan ke 15 dari Jepun, Sayaka Sato straight set 21-15, 21-11.
Tugas bagi perseorangan wanita akan diteruskan Goh Jin Wei yang akan berdepan tugas getir apabila djadual bertemu pilihan ke 14 dari Jepun, Aya Ohori.