Oleh Ku Mohd Lufti
Bergu campuran dalam pembikinan, Goh Soon Huat- Shevon Lai Jemie terus cemerlang di awal musim 2017 selepas melakar kejutan, mara ke final Kejohanan Badminton Victor Far East Masters Malaysia di Stadium Tertutup Sibu.
Tidak diletak selaku gandingan pilihan, Soon Huat dan Shevon yang turun berdepan pilihan keenam dari Indonesia, Tontowi Ahmad-Gloria Emanuelle Widjaja.
Ternyata mereka tidak diberi laluan mudah apabila seringkali ketinggalan pada satu ketika, namun bergu campuran negara ini kembali fokus untuk mengikat kedudukan sekaligus menjarakkan mata dengan lawan mereka.
41 minit bertarung, Goh Soon Huat – Shevon Lai Jemie menutup aksi separuh akhir dengan kemenangan straight set 21-17, 21-18.
Menanti Soon Huat dan Shevon adalah pilihan kedua yang juga gandingan bergu campuran nombor dua negara, Tan Kian Meng – Lai Pei Jing.
Berdepan pasangan bukan pilihan, Tam Chun Hei-Ng Tsy Yau dari Hong Kong, Kian Meng dan Pei Jing tergamam seketika apabila dikejutkan dengan kekalahan 19-21 di set pertama.
Namun pengalaman bermain di pentas antarabangsa nyata menjadi taruhan bergu campuran negara apabila bangkit menguasai dua set berikutnya 21-13, 21-12 selepas bertarung hampir sejam.
Gandingan Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin turut cemerlang apabila mengecewakan bergu berpengalaman dari Indonesia, Markis Kido – Hendra Aprida Gunawan straight set 21-15, 21-13.
Kejutan turut berlaku apabila bergu wanita negara, Lim Yin Loo – Yap Cheng Wen gagal mengikuti jejak rakan rakan yang lain apabila ditunjukkan jalan keluar oleh pasangan Hong Kong, Poon Lok Yan – Tse Ying Suet.
Diletak selaku pilihan keemoat kejohanan, Yin Loo dan Cheng Wen akur tewas 20-22, 22-20, 21-15 selepas bertarung selama sejam 19 minit.