Ketua jurulatih beregu lelaki pasukan badminton negara, Cheah Soon Kit sudah mempunyai calon untuk menggantikan tempat penolongnya Jeremy Gan yang sudahpun melepaskan jawatan pada minggu lalu.

Namun Soon Kit sekadar memberitahu ianya calon tempatan dan tidak mahu mendedahkan nama individu berkenaan selagi  belum mendapat lampu hijau Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Mengakui masih terkejut dengan kehilangan Jeremy, Soon Kit menegaskan mereka perlu menghormati keputusan dibuat jurulatih berusia 39 tahun itu justeru adalah penting untuk terus memandang ke depan dan segera membawa masuk pengganti berwibawa.

“Saya akan berjumpa pengurus besar (Michelle Chai) untuk membincangkannya. Di bawah saya ada lapan pasangan beregu dan ianya satu jumlah yang besar. Jadi saya perlukan seorang lagi jurulatih untuk menguruskan mereka.

“Ini adalah masanya untuk beregu lelaki kembali bangkit selepas kita membuat beberapa perubahan termasuk pertukaran gandingan antara Goh V Shem dan Tan Wee Kiong,” ujar Soon Kit yang mempunyai seorang lagi penolong, Rosman Razak.   

Pada Jumaat lalu, Jeremy membuat keputusan meninggalkan BAM selepas 15 tahun berkhidmat bersama badan induk itu, bagi menerima tawaran bekerja dengan sebuah pasukan di luar negara.

Ini adalah kali kedua dalam tempoh kurang sebulan BAM kehilangan individu berprofil tinggi selepas Pengarah Teknikal, Morten Frost Hansen turut melepaskan jawatannya pada 11 September lalu atas alasan peribadi.  

Kredibiliti Jeremy yang bersama BAM sejak 2002 jelas tidak boleh dipertikai. Dia yang telah diberi pelbagai peranan dan jawatan dalam bidang kejurulatihan adalah antara yang bertanggungjawab melahirkan juara remaja Asia dan Dunia ketika bersama Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ).

Antaranya Lim Khim Wah-Ng Hui Lin (juara beregu campuran remaja dunia 2007), Tan Wee Kiong-Woon Khe Wei (juara beregu campuran remaja Asia 2007) serta Teo Kok Siang-Mak Hee Chun (juara remaja Dunia dan Asia 2008).

Sebagai jurulatih beregu campuran, Jeremy bertanggungjawab mengasah gandingan Chan Peng Soon-Goh Liu Ying untuk mencipta beberapa kejayaan sensasi dan berada pada kedudukan nombor tiga dunia pada satu ketika.

Manakala selaku jurulatih beregu lelaki, dia membimbing Goh V Shem-Tan Wee Kiong sehingga berada di kedudukan nombor satu dunia pada hujung 2016. Malah V Shem-Wee Kiong turut cemerlang memenangi pingat perak di temasya Sukan Olimpik Rio De Janeiro tahun lalu selain Terbuka Denmark dan World Superseries Finals.

Namun pasangan itu langsung gagal menyerlah tahun ini, tidak pernah mara melepasi pusingan suku akhir dalam mana-mana kejohanan memaksa BAM untuk akhirnya memisahkan mereka.

Jeremy bagaimanapun menegaskan keputusan meletak jawatan tiada kena mengena dengan perpisahan V Shem-Wee Kiong.

“Saya telah berkhidmat dengan BAM begitu lama, jadi apabila mendapat tawaran pasukan luar, saya rasa ini masanya untuk saya keluar dan menimba pengalaman. Ia sudah tentunya akan meningkatkan lagi kredibiliti kejurulatihan saya dan saya akan menjadi seorang jurulatih yang lebih baik dengan pengalaman dari luar negara,” kata Jeremy.OLEH MUHD AIMAN 

- Advertisement -