Perjuangan kem negara di kejohanan badminton Spain Masters 2021 menyaksikan Cheam June Wei menjadi wakil tunggal perseorangan negara yang meneruskan cabaran ke peringkat separuh akhir.
June Wei bangkit daripada kekalahan di set pertama sekaligus melakar kejutan selepas menundukkan pilihan kelapan dari Sweden, Felix Burestedt.
Tewas 14-21 di set pertama, June Wei yang kali terakhir muncul juara Cabaran Antarabangsa Malaysia 2019 bangkit dengan permainan yang lebih meyakinkan untuk menang 21-15 sebelum menutup pusingan kedua dengan kemenangan 21-16 untuk mara ke peringkat suku akhir.
KOMEN CHEAM JUNE WEI SELEPAS PERLAWANAN
Beliau akan berdepan satu lagi cabaran sukar apabila dijadual bertemu pilihan pertama dari Indonesia Shesar Hiren Rhustavito.
Nasib berbeza dialami seorang lagi pemain perseorangan negara, Ng Tze Yong yang tumpas ditangan pilihan kedua dari Perancis, Toma Junior Popov.
Juara Terbuka Poland itu kecundang straight set 10-21, 12-21.
Jejak langkah June Wei diekori pasangan bergu wanita, Yap Cheng Wen-Anna Cheong Ching Yik yang melakar kemenangan ke atas gandingan Jerman, Annabella Jaeger-Stine Kuspert.
Cheng Wen dan Anna Cheong bagaimanapun tumpas 19-21 di set pertama namun bangkit di dua set berikutnya 21-6, 21-17 selepas bertarung lebih sejam untuk mengesahkan slot ke suku akhir.
Tugas getir menanti bergu wanita negara apabila dijadual bertemu pilihan pertama dari Denmark, Amalie Magelund-Freja Ravin untuk memburu slot ke peringkat separuh akhir.
Dalam perkembangan berasingan, di Slovenia International 2021, Siti Nursuhaini Azman mara ke pusingan kedua.
Berdepan Zuzanna Jankowska, Shuhaini nyata tidak berdepan masalah untuk menundukkan lawan dengan kemenangan straight set 21-6, 21-9.
Cabaran perseorangan lelaki berakhir apabila Justin Hoh tewas kepada pilihan pertama dari Denmark, Victor Ørding Kauffmann 10-21, 23-25.