melaka.kuantanfa

Oleh Muhammad Aiman

Ayam tambatan yang juga ‘mesin gol’ Melaka United, Ilija Spasojevic akhirnya membuka mulut mendedahkan mengenai masa depannya apabila mengesahkan mahu kekal beraksi bersama juara baru 100PLUS Liga Premier itu, musim depan.

Setelah berteka-teki dan menimbulkan keraguan mengenai halatuju kariernya, Spasojevic atau dikenali sebagai ‘spaso-gol’ di kalangan penyokong Melaka, berkata kerjasama sepasukan mantap, pengurusan yang prihatin serta sokongan hebat penyokong mendorongnya membuat keputusan terus menabur bakti bersama pasukan itu.

“Saya ada mendengar mengenai khabar angin perpindahan saya, hanya kerana saya memilih berdiam dan tidak bercakap mengenai masa depan saya tidak bermakna saya mahu berpindah. Saya tidak pernah meminta untuk berpindah meninggalkan pasukan ini, cuma saya tidak mahu memikirkannya sebelum ini kerana mahu fokus membantu Melaka muncul juara Liga Premier. 

“Saya sudah bercakap dengan pengurusan bahawa mahu kekal lagi di sini untuk beberapa tahun. Suasana, kemeriahan dan penyokong di sini membuatkan saya rasa disayangi dan saya juga sayang mereka, sayang Melaka. Saya masih lagi pemain Melaka United dan mahu kekal seperti itu,” kata Spasojevic.

Pemain kelahiran Montenegro itu menyerlah menjadi antara nadi utama pasukan bimbingan Mat Zan Mat Aris dalam melakar sejarah baru bolasepak negeri itu dengan menjaringkan 23 gol yang membantu Melaka menjulang gelaran liga pertama mereka dalam tempoh 33 tahun.

Sementara itu, kejayaan Melaka menjulang gelaran liga setelah mencatat keputusan seri 1-1 menentang Johor Darul Takzim II pada Jumaat, menyaksikan mereka dihadiahkan ganjaran pakej menunaikan umrah serta lawatan ke Old Trafford, stadium kelab gergasi Liga Perdana Inggeris, Manchester United.

Melaka muncul juara dengan baki dua perlawanan untuk ditamatkan setelah mengumpul 49 mata, tujuh mata mengatasi pasukan tangga kedua PKNS Selangor sekaligus kembali ke kancah Liga Super buat kali pertama selepas sembilan tahun.   

- Advertisement -