Selepas tewas 0-7 dalam aksi pembukaan kumpulan B semalam, skuad hoki negara membuktikan komitmen mereka dalam misi memburu pingat selepas melakar kemenangan sulung, menewaskan Wales 3-0 pagi tadi.
Hanya kemenangan yang akan menjadi penentu skuad kendalian Stephen Van Huizen untuk mencerahkan peluang ke separuh akhir.
Semangat juang thespeedy tigers mula membara di suku kedua permainan apabila Malaysia dihadiahkan penalty stroke.
Fitri Saari tidak berdepan masalah untuk menyempurnakan penalty stroke di minit ke 17 untuk meletakkan Malaysia didepan 1-0.
Giliran Joel Van Huizen melakar nama selaku penjaring kedua Malaysia di minit ke 37 hasil percaturan pukulan sudut penalti sebelum Faizal Saari melengkapkan kemenangan pertama untuk Malaysia di minit ke 57 untuk keputusan muktamad 3-0 memihak Malaysia.
Kemenangan ini jelas dinantikan Van Huizen, namun tidak mahu pemain pemain dibuai mimpi indah kerana laluan berliku menanti mereka.
‘Mereka menunjukkan peningkatan yang baik dibeberapa bahagian dan sudah tentu kami gembira dengan kemenangan dan tiga mata yang diraih.
‘Kami juga tahu akan berdepan tugas sukar di dua perlawanan berikutnya, menentang Pakistan dan India. Kami perlu berehat dengan sebaiknya sebelum menentang India kerana ia akan menentukan nasib kami,’kata Van Huizen.
The Speedy Tigers akan berehat selama dua hari sebelum turun berdepan pasukan yang berada di ranking ke enam dunia, India pada Selasa 7.30 pagi waktu Malaysia sebelum berdepan pasukan yang berada di ranking ke 13 dunia, Pakistan pada 11 April di Pusat Hoki Gold Coast.OLEH KU MOHD LUFTI