Skuad hoki kendalian Stephen Van Huizen setidak tidaknya berpeluang untuk memperbaiki kedudukan empat tahun lalu apabila Malaysia bakal beraksi dalam perlawanan penentuan bagi kedudukan ke 5 dan 6.
Keputusan satu kemenangan dua kekalahan, mahu atau tidak, The Speedy Tigers perlu mencari kemenangan ke atas Pakistan dalam perlawanan terakhir kumpulan B untuk mengekalkan kedudukan ketiga.
Pakistan juga yang memerlukan kemenangan selepas berkongsi tiga mata dengan Malaysia, dibezakan jumlah gol untuk sekurang kurangnya menamatkan saingan di kedudukan ketiga.
Impian mereka tampak bakal menjadi kenyataan apabila Muhd Dilber melakukan hantara dan disudahkan dengan baik Shafqat Rasool sekaligus meletakkan Pakistan mendahului 1-0.
Ketangkasan penjaga gol Pakistan, Imran Butt nyata menambahkan tekanan ke atas anak didik Van Huizen yang terus buntu mencari gol.
Babak kedua memperlihatkan corak permainan yang lebih kemas dipamerkan Malaysia dan ia ternyata membuahkan hasil apabila gerakan Fitri Saari melakukan gerakan solo sebelum Ramadan ROsli menyudahkannya untuk mengikat kedudukan 1 sama.
Jaringan penyamaan di minit ke 39 nyata merencatkan semangat juang Pakistan yang tampak buntu untuk mencari jaringan.
Tiada pertambahan jaringan dicipta menyaksikan Malaysia kekal di tangga ketiga kumpulan B, berkongsi 4 mata dengan Pakistan yang berada di tangga keempat, dibezakan dengan jumlah jaringan.
Secara keseluruhan, Stephen Van Huizen berpuas hati dengan keputusan yang dilakar pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan hari ini.
“Jika mengikut kedudukan ranking dunia, kita perlu menamatkan saingan di ke 5 atau 6 atau lebih baik. Saya puas hati kerana kami mencapai sasaran untuk menamatkan perlawanan mengikut kedudukan ranking kami.
“Pada awal perlawanan, pemain melakukan beberapa kesilapan dan sedikit kelekaan telah menyebabkan kami dikejutkan dengan gol pertama Pakistan.
“Bagaimanapun kami kembali dan bermain sebagai satu pasukan dengan lebih kemas dan ianya membuahkan hasil apabila gerakan Fitri Saari dan Ramadan menghasilkan gol penyamaan,”Van Huizen.
Namun, ia bukan satu kegembiraan berpanjangan, kerana beliau perlu melakukan persiapan untuk mengharungi Sukan Asia di Indonesia pada Ogos.
“Secara keseluruhan selepas tamat perlawanan peringkat kumpulan saya melihat masih ada banyak ruang dan kekurangan yang perlu diperbaiki kerana selepas ini adalah Sukan Asia yang akan menemukan sekali lagi India dan Pakistan.
“Saya menjangkakan Sukan Asia nanti akan wujud persaingan yang lebih sengit ditambah dengan kehadiran Korea Selatan dan Jepun,”kata Van Huizen lagi.OLEH KU MOHD LUFTI