hokimas

Oleh Muhammad Aiman

Pasukan negara akan turun menentang India dalam aksi keempat Trofi Juara-Juara Asia QNET 2016 malam ini, memburu kemenangan bagi merampas semula kedudukan pendahulu seterusnya mengintai peluang mengakhiri saingan peringkat kumpulan selaku juara.

Namun, ianya bukan tugas mudah buat anak buah Stephen Van Huizen apatah lagi India ketika ini di kemuncak prestasi selepas meledak 23 gol dalam empat perlawanan yang telah mereka harungi.

Pada Selasa, India membaham China 9-0 menerusi dua jaringan Akashdeep Singh, Yousuf Affan, Jasjit Singh Kumar serta satu masing-masing jaringan Rupinder Pal Singh, Nikkin Thimaiah dan Lalit Upadhay untuk melonjak ke tangga teratas dengan 10 mata.

Ia adalah adalah kemenangan ketiga buat skuad juara Asia itu setelah menjinakkan Jepun 10-2 pada aksi pembukaan dan menang 3-2 ke atas Pakistan. Mereka seri 1-1 menentang Korea Selatan dalam satu lagi perlawanan.

Malaysia tidak kurang hebatnya, menang kesemua tiga perlawanan setakat ini iaitu 4-2 ke atas Pakistan, 5-1 ke atas China dan 7-2 ke atas Jepun namun untuk menyekat amukan barisan depan India, pertahanan Malaysia khususnya perlu berada pada prestasi terbaik.

“India memang diketahui sebuah pasukan lengkap, mereka telah beraksi di Rio berada di sini dengan keyakinan tinggi. Kita pernah tewas kepada mereka tahun ini (1-6 di Piala Sultan Azlan Shah) jadi adalah penting kita perkemas pertahanan dan lebih fokus.   

“Memang kita akan muncul juara kumpulan kalau menang malam ini, tetapi saya mahu pemain tumpukan perhatian untuk beri aksi terbaik. Tekanan kita sedikit berkurang selepas mara ke separuh akhir, dan saya telah ambil kesempatan untuk melakukan latihan penentuan penalti sebagai persediaan sekiranya berdepan situasi itu di separuh akhir,” kata Stephen.

Manakala bagi Roelant Oltmans, dia tidak mahu mendabik dada dengan prestasi memuncak ditunjukkan pemainnya ketika ini dan tetap berwaspada dengan ancaman Speedy Tigers.

“Ia adalah perlawanan yang pastinya berbeza dengan Malaysia menampilkan aksi menarik dalam tiga perlawanan sebelum ini. Ini adalah satu cabaran buat kami. Bagaimana permainan kami sebelum ini ketika menentang Korea dan Pakistan, itulah kami akan tampilkan bila berdepan Malaysia.

“Malaysia bertuah kerana mempunyai dua hari rehat dan tentu mereka akan beraksi dengan baik. Dengan kurang 22 jam sebelum perlawanan, itu adalah cabaran namun jadual sudah ditetapkan. Kami hanya mengharapkan keputusan positif berdepan Malaysia yang mempunyai skil individu yang bagus serta persediaan pasukan yang mantap. Mereka telah jauh meningkat berbanding tahun lalu.”

Kedudukan kumpulan ketika ini menyaksikan India di tangga teratas dengan 10 mata, diikuti Malaysia (9), Pakistan (6), Korea Selatan (4) dan China (3) manakala Jepun di kedudukan tercorot tanpa mata.

- Advertisement -