KPM.100+SSM Tunku Mahkota Ismail semakin menghampiri aksi suku akhir Liga Piala Remaja KPM – FAM (B-17) setelah menundukkan SMK Za’ba 1-0 dalam aksi Liga Super di Kuala Pilah pada Sabtu.

Kemenangan menerusi jaringan tunggal Syahmi Zamri pada minit ke-32 membolehkan pasukan dari Johor itu mengumpul 22 mata dari 12 perlawanan sekaligus membuka jurang tiga mata di tangga teratas mengatasi pasukan tangga kedua SMK Bukit Nenas.

Di Subang Jaya, SMK Bukit Nenas gagal meletakkan diri di kedudukan lebih selesa untuk melangkah ke kelompok lapan terakhir setelah kecundang 2-4 kepada SMK Seksyen 11.

SMK Seksyen 11 bimbingan Mat Dinos Talib beroleh jaringan menerusi Idham Azizan, Syaiq Tony Rosdin, Fakrul Iman Naszari dan Husni Idrus manakala dua gol buat pasukan dari Terengganu itu dijaringkan oleh Hisyam Ismail.

Kemenangan buat SMK Seksyen 11 menyaksikan mereka melonjak ke tangga keempat dengan 16 mata, hanya dipisahkan menerusi beza jaringan dengan pasukan tangga ketiga SMK Tabuan Jaya, dan tiga mata di belakang SMK Bukit Nenas.

Dalam satu lagi perlawanan, SMK Syed Hassan dari Perlis beraksi garang untuk membelasah SMK Seberang Temerloh 5-1 seterusnya turut menyalakan peluang untuk mengintai tempat di suku akhir.

Beraksi di gelanggang sendiri, SMK Syed Hassan mendahului 4-0 di separuh masa pertama hasil dua jaringan Faiz Nazri dan satu jaringan masing-masing oleh Izhar Rafi dan Wan Mohd Adly Wan Nazmi sebelum menambah satu lagi jaringan di separuh masa kedua juga menerusi Wan Mohd Adly.

Tiga mata yang diraih menyaksikan SMK Syed Hassan berada di tangga kelima dengan mengumpul 15 mata, manakala SMK Seberang Temerloh di kedudukan ketujuh dengan 12 mata.

Sementara itu, aksi Liga Perdana pula menyaksikan SMK Mutiara Impian dari Pulau Pinang muncul pasukan pertama untuk mengesahkan kemaraan ke suku akhir setelah menundukkan MSS Putrajaya 2-1.

Kemenangan hasil jaringan Athari Aqil Fitri dan Shahlee Yusoff membolehkan pasukan itu mengumpul 31 mata, enam mata mengatasi SSM Pahang dan dengan hanya berbaki tiga perlawanan peringkat kumpulan untuk ditamatkan, kedudukan mereka di kedudukan empat teratas jelas sudah tidak terusik.

SMK Seri Titiwangsa pula terlepas peluang untuk turut mengiringi SMK Mutiara Impian setelah tewas 0-1 kepada wakil Perak, SMK Gunung Rapat di gelanggang sendiri di Cheras.

Kekalahan bagaimanapun menyaksikan SMK Seri Titiwangsa kekal di tangga ketiga dengan 23 mata manakala SMK Gunung Rapat yang sudahpun tersisih daripada persaingan memburu kedudukan empat teratas berada di tangga kelapan dengan 12 mata.

Perlawanan lain menyaksikan SMK Seri Kota menewaskan SMK Tun Hussein Onn 4-2 untuk berada di tangga kelima dengan 18 mata manakala SMK Tunku Anum dari Kedah melonjak ke tangga keenam setelah membelasah SMK Datuk Peter Monjuntin 4-1.

 

Keputusan Liga Piala Remaja KPM – FAM (B-17)

Liga Super

SMK Za’ba (N.Sembilan)        0          1          SSM Tunku Mahkota Ismail

SMK Seksyen 11 (Selangor)   4          2          SMK Bukit Nenas (Terengganu)

SMK Syed Hassan (Perlis)     5          1          SMK Seberang Temerloh (Pahang)

 

Liga Perdana

MSS Putrajaya                        1          2          SMK Mutiara Impian (P.Pinang)

SMK Seri Kota (Melaka)         4          2          SMK Tun Hussen Onn (Johor)

SMK Seri Titiwangsa (KL)       0          1          SMK Gunung Rapat (Perak)

SMK Tunku Anum (Kedah)     4          1          SMK Datuk Peter Monjuntin (Sabah)  

- Advertisement -