Pendahulu Liga Super Piala Menteri Pendidikan Malaysia (B-14), SSM Tunku Mahkota Ismail terlepas peluang untuk mengukuhkan cengkaman di tangga teratas apabila sekadar mencatat keputusan seri tanpa jaringan menentang SMK Tabuan Jaya.
Satu mata yang diraih menyaksikan pasukan dari Johor itu mengutip 10 mata dan mendahului liga hanya dengan beza jaringan ke atas SSM Bukit Jalil.
SSM Bukit Jalil melonjak ke tangga kedua setelah menundukkan SMK Putera dari Kelantan 1-0 menerusi gol tunggal yang dijaringkan Naven Raj Kanan pada minit ke-16.
SMK Bukit Nenas pula dikecewakan jaringan minit akhir Aniq Ashraf Zulkifli untuk berpuas hati dengan keputusan 2-2 menentang SMK Syed Hassan dan kekal di tangga ketiga liga.
Wakil Terengganu itu mendahului pada minit ke-24 menerusi Ahmad Wafiyudin Rozilah sebelum Hazwan Hassan menyamakan kedudukan 1-1 pada minit ke-53.
SMK Bukit Nenas bagaimanapun kembali mendahului seminit selepas itu hasil jaringan sendiri Azri Syazani namun Aniq Ashraf memastikan SMK Syed Hassan pulang ke Kangar dengan satu mata berharga.
Dalam satu lagi perlawanan, SMK Za’ba bangkit dari dua kekalahan berturut-turut sebelum ini untuk mengutip tiga dengan menewaskan SMK Seksyen 11 dengan keputusan 2-0.
Dua gol jaringan Nor Fazly Suleiman memadai buat wakil Negeri Sembilan itu mencatat kemenangan kedua dan melonjak ke kedudukan pertengahan liga.
Dalam pada itu, aksi Liga Perdana pula menyaksikan kesemua empat perlawanan berkesudahan dengan keputusan seri sekaligus tiada perubahan dalam kedudukan empat teratas liga.
SSM Pahang kekal sebagai peneraju setelah mencatat keputusan seri tanpa jaringan menentang pasukan tangga kedua SMK Seri Kota manakala nasib sama dialami pasukan tangga ketiga, SMK Gunung Rapat yang diikat tanpa jaringan oleh pasukan tangga tercorot SMK Mutiara Impian.
Hanya MSS Putrajaya dan SMK Seri Titiwangsa berjaya melonjak satu anak tangga ke kedudukan kelima dan keenam masing-masing setelah mencatat keputusan seri 1-1 dalam perlawanan yang berlangsung di Padang Sintetik Majlis Sukan Negara Bukit Jalil.
Perlawanan berlangsung seimbang dengan kedua-dua pasukan mempunyai peluang menjaringkan gol, namun MSS Putrajaya yang paling hampir memecah kebuntuan menerusi percubaan Shahlan Samsudin yang terkena palang dan Alif Aiman yang diselamatkan penjaga gol.
Tanpa jaringan di separuh masa pertama, SMK Seri Titiwangsa membuka tirai jaringan pada minit ke-38 menerusi penyudah bijak Afiq Hakimi Norawi namun kelebihan itu hanya bertahan seminit apabila Zikri Muaz Afandee menyamakan kedudukan buat MSS Putrajaya.
Jurulatih SMK Seri Titiwangsa, Rozlan Alias mengakui kecewa dengan keputusan itu yang disifatkan berpunca dari kesilapan pemainnya sendiri.
“Memang saya tidak berpuas hati, disebabkan kesilapan sedikit kita hilang tiga mata. Tapi terpaksa terima, kita akui Putrajaya pun main baik, perlawanan seimbang, masing-masing ada peluang, keputusan yang adil walaupun kita sasarkan kemenangan.
“Untuk perlawanan akan datang, banyak yang perlu diperbaiki teutamanya pertahanan, nampak longgar. Penyerang pun tak bermain mengikut arahan jadi kita akan lakukan sesuatu,” kata Rozlan.
Dalam satu lagi perlawanan yang berlangsung di Sabah antara SMK Datuk Peter Monjuntin dan SMK Tun Hussein Onn turut berkesudahan seri 2-2.
SMK Tun Hussein Onn mendahului 2-0 menerusi jaringan Nazafee Jalaludin dan Akram Mukhriz namun tuan rumah bangkit menyamakan kedudukan hasil gol Nickzron Roger dan Azimi Fadily.
KEPUTUSAN
LIGA SUPER PIALA MENTERI PENDIDIKAN (B-14)
SMK Seksyen 11 (Selangor) 0
SMK Za’ba (N.Sembilan) 2
SMK Bukit Nenas (Terengganu) 2
SMK Syed Hassan (Perlis) 2
SMK Putera (Kelantan) 0
SSM Bukit Jalil 1
SMK Tabuan Jaya (Sarawak) 0
SMK Tunku Mahkota Ismail (Johor) 0
LIGA PERDANA PIALA MENTERI PENDIDIKAN (B-14)
SMK Mutiara Impian (P. Pinang) 2
SMK Gunung Rapat (Perak) 2
SSM Pahang 1
SMK Seri Kota (Melaka) 0
SMK Seri Titiwangsa (K.Lumpur) 3
MSS Putrajaya 1
SMK Datuk Peter Monjuntin (Sabah) 2
SMK Tun Hussein Onn 2