Pasukan SSM Tunku Mahkota Ismail terus unggul di tangga teratas Liga Super Piala Remaja KPM – FAM (B-17) walaupun sekadar mencatat keputusan seri 1-1 menentang SMK Putera di Kota Bharu.
Dalam aksi penuh tegang yang menyaksikan layangan enam kad kuning dan satu kad merah itu, SSM Tunku Mahkota Ismail terlebih dahulu membuka jaringan pada minit ke-20 menerusi Farizan Hashim namun dihampakan jaringan penyamaan Ikhwan Yazek pada minit ke-33.
Keputusan seri menyaksikan wakil dari Johor itu mendahului liga dengan 15 mata berkelebihan empat mata ke atas pencabar terdekat SMK Bukit Nenas yang tidak beraksi minggu ini, manakala SMK Putera pula jatuh ke tangga tercorot dengan lima mata.
Sementara itu, jaringan pada masa kecederaan oleh Haziq Fikri Haszaime memastikan SMK Za’ba mengutip tiga mata dengan menewaskan SMK Tabuan Jaya 2-1 di Kuala Pilah.
Tuan rumah mendahului 1-0 di separuh masa pertama menerusi Haziq Fikri dan walaupun mendominasi perlawanan, mereka gagal menterjemahkan sentuhan penyudah sebaliknya membenarkan SMK Tabuan Jaya untuk menyamakan kedudukan menerusi Hendry Amir Anak Simon pada minit ke-44.
Ketika kedua-dua pasukan tampak hampir menamatkan permainan dengan keputusan seri, Haziq muncul penyelamat apabila memanfaatkan kesilapan pemain SMK Tabuan Jaya untuk gol kemenangan SMK Za’ba.
Di sebalik kemenangan yang melonjakkan mereka ke tangga ketiga – terikat 11 mata dengan SMK Bukit Nenas – jurulatih SMK Za’ba, Bahrom Tahir meluahkan rasa tidak puas hati dengan kualiti permainan ditunjukkan kedua-dua pasukan.
“Pada saya perlawanan tidak menarik. Sebab Sarawak (Tabuan Jaya) cari seri, mereka berkampung di kawasan sendiri. Jadi perlawanan tidak menghiburkan, kita mahu main bola tapi kita faham dia datang sini pun dia matlamat sendiri tidak mahu pulang tangan kosong.
“Pemain saya pula, main seolah tiada ilmu bola. Kita dapat satu kad merah yang sia-sia, itu tidak sepatutnya berlaku jika pemain bermain gunakan akal dan saya harap situasi ini tidak berulang selepas ini,” ujar Bahrom.
Dalam satu lagi perlawanan yang berlangsung pada Ahad, SMK Seksyen 11 mencatat kemenangan pertama musim ini dengan menewaskan SMK Syed Hassan dari Perlis.
Kemenangan menyaksikan SMK Seksyen 11 keluar dari kedudukan tercorot dan menghuni tangga kelapan, dengan mengumpul enam mata.
Bagi aksi Liga Perdana Piala Remaja KPM – FAM pula, empat perlawanan berlangsung pada minggu lalu namun tumpuan sudah semestinya terarah kepada pendahulu, SMK Mutiara Impian dan pasukan tangga kedua SSM Pahang yang terus mengukuhkan cengkaman setelah masing-masing melakar kemenangan besar.
SMK Mutiara Impian membelasah SMK Datuk Peter Monjuntin 5-1 di gelanggang sendiri, untuk mencatat kemenangan keenam dari lapan perlawanan.
Athari Akhil Fitri dan Hizaz Lokman masing-masing menjaringkan dua gol manakala Lokman Hakim Rizal menyumbangkan satu jaringan buat pasukan dari Pulau Pinang itu sekaligus membantu mengekalkan kelebihan tiga mata di tangga teratas.
SSM Pahang turut membelasah SMK Gunung Rapat dengan jaringan 5-1 menerusi jaringan hatrik Mukhairi Ajmal Mahadi serta satu gol masing-masing oleh Aiman Syakir dan Khussaini Adli.
Perlawanan lain pula menyaksikan SMK Seri Titiwangsa melonjak ke tangga keempat setelah menundukkan SMK Tunku Anum T.A.R 1-0 hasil jaringan tunggal Royyizat Daud manakala SMK Tun Hussein meraih kemenangan sulung musim ini dengan menewaskan MSS Putrajaya juga dengan jaringan 1-0.
KEPUTUSAN
LIGA SUPER PIALA REMAJA KPM-FAM (B17)
SMK Za’ba (N.Sembilan) 2
SMK Tabuan Jaya (Sarawak) 1
SMK Seksyen 11 (Selangor) 1
SMK Syed Hassan (Perlis) 0
SMK Putera (Kelantan) 1
SSM Tunku Mahkota Ismail (Johor) 1
LIGA PERDANA PIALA REMAJA KPM–FAM (B17)
SMK Tun Hussein Onn (Johor) 1
MSS Putrajaya 0
SMK Mutiara Impian (P.Pinang) 5
SMK Datuk Peter Monjuntin (Sabah)1
SSM Pahang 5
SMK Gunung Rapat (Perak) 1
SMK Seri Titiwangsa (K.Lumpur) 1
SMK Tunku Anum T.A.R (Kedah) 0